
KOTA BHARU, 2 Ogos – Kerjasama strategik antara Polis Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang syariah mula menunjukkan hasil apabila kes rogol bawah umur yang melibatkan hubungan suka sama suka di negeri itu dilaporkan menurun.
- Polis kini menjalankan siasatan dan tindakan di bawah undang-undang syariah terhadap perempuan yang terlibat.
- Pendekatan bukan semata-mata menghukum, tetapi memberi kesedaran dan menimbulkan rasa gerun bagi mencegah pengulangan.
- Pencegahan harus fokus kepada punca akar dalam keluarga seperti kemiskinan, konflik keluarga, penyalahgunaan dadah dan kurang didikan agama.
- Cadangan memperkasakan Jawatankuasa Perlindungan Kanak-Kanak dengan kerjasama JKM, sekolah, pemimpin masyarakat dan agensi bagi intervensi awal.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sebelum ini tindakan lebih tertumpu kepada pihak lelaki yang didakwa mengikut undang-undang jenayah, namun kini siasatan dan tindakan di bawah undang-undang syariah turut dilaksanakan terhadap pihak perempuan yang terlibat.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya memberi kesedaran dan mewujudkan rasa gerun bagi membendung pengulangan kes sama.
“Alhamdulillah setakat ini kes seksual melibatkan hubungan suka sama suka menunjukkan penurunan apabila MAIK dan JAHEAIK mengambil tindakan. Sekurang-kurangnya ia memberi keinsafan dan rasa gerun kepada pihak yang terlibat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata usaha menangani gejala sosial tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata kerana siasatan polis mendapati kebanyakan kes pengabaian kanak-kanak, penderaan dan masalah sosial berpunca daripada kemiskinan, konflik keluarga, penyalahgunaan dadah serta kurangnya didikan agama.
Menurut beliau, tindakan pencegahan perlu memberi tumpuan kepada akar permasalahan dalam institusi keluarga, bukan hanya memulihkan mangsa selepas sesuatu kejadian berlaku.
“Kita bukan hanya mahu memulihkan kanak-kanak yang menjadi mangsa, tetapi mencari punca mengapa ibu bapa mengabaikan anak mereka supaya intervensi dapat dilakukan lebih awal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Jawatankuasa Perlindungan Kanak-Kanak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diperkasakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, sekolah, pemimpin masyarakat serta agensi berkaitan bagi melaksanakan intervensi awal.
Dalam pada itu, Datuk Mohd. Yusoff berkata, Polis Kelantan turut memperhebat usaha membanteras penyalahgunaan dadah menerusi pelan strategik baharu yang mewajibkan setiap daripada 56 ketua balai polis di negeri itu menangkap sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari sejak 15 Julai lalu.
Beliau berkata, strategi itu dilaksanakan secara menyeluruh, dengan ketua balai memberi tumpuan kepada penagih, ketua bahagian narkotik daerah memburu pengedar, manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen menumpaskan sindiket berskala besar.
“Kalau kita terlalu memikirkan soal lokap penuh, masalah dadah tidak akan selesai. Sebab itu setiap peringkat diberi fokus masing-masing sehingga ke sindiket besar,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Permuafakatan Polis Diraja Malaysia bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan di Tunjong, di sini, hari ini.