
KUALA TERENGGANU, 2 Ogos – Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) mengesan sebanyak 132 kes kecurian meter air di sekitar negeri ini sejak Julai lepas, termasuk kes melibatkan unit baharu yang belum diaktifkan.
- SATU buat laporan polis berhubung kecurian meter air.
- Perbincangan lanjut akan diadakan bersama Ketua Polis Terengganu dalam masa terdekat.
- SATU akan bincang langkah pencegahan drastik bersama pihak polis.
- Pengiktirafan MBOR dan ekspedisi Puncak Kinabalu 2026 disertai 35 kakitangan termasuk tiga pendaki wanita.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, laporan polis telah dibuat berhubung kes berkenaan dan perbincangan lanjut akan diadakan bersama Ketua Polis Terengganu dalam masa terdekat.
“Maknanya individu yang mencuri ini mungkin faham nilai meter tersebut atau mengambilnya untuk kegunaan lain. Kita akan bincangkan langkah pencegahan drastik bersama pihak polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pencapaian ‘Pendakian Berkumpulan Paling Ramai oleh Kakitangan Operator Air di Malaysia’ di sini, hari ini.
Ekspedisi Puncak Kinabalu SATU 2026 itu menyaksikan penyertaan 35 kakitangan syarikat berkenaan, termasuk tiga pendaki wanita.