Serangan bom di Narathiwat, tiada bukti suspek bolos ke Kelantan – Polis

Foto fail BERNAMA

KOTA BHARU, 2 Ogos – Polis Kelantan menegaskan tiada bukti menunjukkan suspek yang menyerang dan membunuh lima anggota Pasukan Renjer di Narathiwat, Thailand melarikan diri ke negeri ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menepis dakwaan Kelantan menjadi laluan mudah penjenayah dari selatan Thailand.
  • Cawangan Khas dan IPK Kelantan memantau sempadan, tidak mengesan pergerakan mencurigakan suspek.
  • Kelantan menyokong cadangan pagar keselamatan kira-kira 90 kilometer bagi memperkukuh kawalan sempadan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dakwaan bahawa setiap insiden keganasan di selatan Thailand menyebabkan suspek meloloskan diri ke Kelantan sering dibangkitkan, namun setakat ini tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan berkenaan.

Menurut beliau, anggota Cawangan Khas di semua daerah serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sentiasa memantau perkembangan keselamatan di kawasan sempadan, namun tidak mengesan sebarang pergerakan mencurigakan membabitkan suspek kejadian itu.

“Kita selalu dituduh begitu. Setiap kali berlaku kejadian tembak-menembak di selatan Thailand, akan timbul dakwaan bahawa suspek melarikan diri ke Kelantan. Namun apabila kawalan sempadan diperketatkan, dakwaan itu tidak lagi berasas, termasuk berkaitan jenayah rentas sempadan dan penyeludupan dadah,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Permuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di JPN Kelantan, Tunjong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kawalan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan telah dipertingkatkan sejak awal beliau menerajui kontinjen itu bagi membanteras penyeludupan dadah, barangan kontraban serta jenayah rentas sempadan.

Tegasnya, langkah itu sekali gus menepis persepsi bahawa Kelantan menjadi laluan mudah kepada penjenayah yang melarikan diri dari selatan Thailand.

Dalam perkembangan sama, beliau menyambut baik cadangan kerajaan Thailand membina pagar keselamatan sepanjang kira-kira 90 kilometer di kawasan sempadannya kerana percaya langkah itu mampu memperkukuh kawalan keselamatan dan mengekang jenayah rentas sempadan di kedua-dua negara.

Media sebelum ini melaporkan, lima anggota Renjer Tentera Thailand maut dalam satu serangan hendap di sebuah sekatan jalan raya di Jalan Raya Perbandaran Bu Ke Chami di sub-daerah Tanjong Mas, daerah Ra-ngae, wilayah Narathiwat, dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang pada 22 Julai lalu.

Mangsa yang terkorban ialah Sarjan Mejar Theerayut Somakerd, 43; Renjer Sakiriya Chehna, 23; Renjer Wimol Dabthong, 43; Renjer Natthasit Kaewsena, 34; dan Renjer Salahudin Pi, 34, selain enam orang awam tercedera.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.