PRN Negeri Sembilan tamat, kesemua 401 pusat mengundi ditutup 6 petang

Gambar hiasan / Foto BERNAMA

SEREMBAN, 1 Ogos – Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 berakhir secara rasmi selepas kesemua 401 pusat mengundi di seluruh negeri ditutup tepat pukul 6 petang hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 103 calon menanti keputusan untuk merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.
  • Setakat jam 4 petang, 65.38 peratus atau 562,133 daripada 859,760 pemilih biasa telah mengundi.
  • SPR menyasarkan kadar keluar mengundi antara 72 hingga 75 peratus.
  • Pembukaan sampul undi pos disiarkan langsung di Facebook rasmi SPR bagi ketelusan proses demokrasi.

Seramai 103 calon kini menanti keputusan rakyat bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan keputusan awal dijangka diumumkan seawal jam 10 malam.

Sebelum pusat mengundi ditutup, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 65.38 peratus atau 562,133 daripada keseluruhan 859,760 pemilih biasa telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat jam 4 petang.

SPR sebelum ini menyasarkan kadar keluar mengundi bagi PRN Negeri Sembilan kali ini mampu mencapai antara 72 hingga 75 peratus.

Bagi memastikan ketelusan proses demokrasi, proses pembukaan sampul undi pos turut dimulakan dan disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook rasmi SPR.

PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan pertandingan membabitkan 103 calon daripada beberapa parti politik dan calon Bebas bagi merebut 36 kerusi DUN.

Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua 36 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) sebanyak 25 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 11 kerusi serta empat calon Bebas.

Selain itu, Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon.

Keputusan PRN Negeri Sembilan ke-16 akan menentukan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal menerima mandat rakyat untuk membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.