
LUMUT, 31 Julai – Cubaan menyeludup masuk 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas menahan sebuah vesel nelayan asing Indonesia yang bertindak agresif dengan merempuh bot ronda agensi itu sebanyak empat kali di perairan Teluk Senangin, berhampiran Batu Malang, awal pagi tadi.
- Operasi dimulakan selepas maklumat awam diterima pada 12.40 tengah malam.
- Tekong mengubah haluan berbahaya, mengancam keselamatan anggota; kapal sokongan diatur gerak dan vesel dipintas pada 3.35 pagi.
- Vesel membawa PATI warga Indonesia disyaki masuk melalui laluan tidak diwartakan; diserahkan kepada JKDM dan disiasat bawah Akta Imigresen serta ATIPSOM.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi bermula selepas pihaknya menerima maklumat awam pada jam 12.40 tengah malam.
Beliau berkata, ketika operasi dijalankan, tekong vesel cuba meloloskan diri dengan mengubah haluan secara berbahaya sebelum merempuh bot ronda pihak berkuasa sebanyak empat kali, sekali gus mengancam keselamatan anggota yang sedang menjalankan tugas penguatkuasaan.
“Bagi memastikan keselamatan anggota serta menghalang vesel itu daripada meloloskan diri, sebuah kapal ronda Maritim Malaysia diatur gerak sebagai aset sokongan.
Hasil tindakan pantas anggota Maritim, vesel itu berjaya dipintas, disekat dan ditahan sepenuhnya pada jam 3.35 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu membawa 41 PATI warga Indonesia, terdiri daripada 29 lelaki dan 12 wanita berusia antara 21 hingga 57 tahun, yang disyaki memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan.
Mohamad Shukri berkata, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan anggota Maritim Malaysia sepanjang operasi.
Beliau berkata, vesel bersama semua PATI diiring ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran.