
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Kepimpinan wanita berteraskan ilmu pengetahuan, integriti dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan perlu terus diperkasa bagi memastikan pembangunan negara yang mampan dalam era kecerdasan buatan (AI).
- Memperkasa pemimpin wanita melalui penguasaan ilmu dan kebijaksanaan dalam mengaplikasikannya untuk pentadbiran berkesan era AI.
- Mengintegrasikan ilmu dengan kebijaksanaan supaya keputusan kekal berlandaskan nilai kemanusiaan dan tadbir urus baik.
- Pemimpin perlu mengutamakan integriti dan membina legasi memberi manfaat kepada organisasi serta masyarakat.
- W.I.S.H. Global Leadership Summit menjadi platform perkongsian ilmu, jaringan strategik dan kerjasama antarabangsa bagi memperkasa wanita.
Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Profesor Dr. Noor Inayah Yaakub berkata, penguasaan ilmu serta kebijaksanaan mengaplikasikannya amat penting bagi memastikan pemimpin wanita mampu menerajui organisasi dan pentadbiran dengan berkesan.
“Penganjuran W.I.S.H. Global Leadership Summit 2026 amat bertepatan dengan keadaan dunia ketika ini, terutama dengan perkembangan pesat AI. Jika kita tidak mengaplikasikan ilmu yang dimiliki dengan sebaiknya, ia boleh menjejaskan pentadbiran dan kepimpinan.
“Apa yang saya tekankan ialah kepentingan mengintegrasikan ilmu pengetahuan sebagai seorang pemimpin dengan kebijaksanaan dalam menggunakan ilmu tersebut, khususnya dalam memperkasa kepimpinan wanita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada W.I.S.H. Global Leadership Summit 2026.
Menurut beliau, perkembangan pesat teknologi AI menuntut pemimpin supaya mengintegrasikan ilmu pengetahuan dengan kebijaksanaan agar keputusan yang dibuat kekal berlandaskan nilai kemanusiaan dan tadbir urus yang baik.
Katanya, pemimpin tidak seharusnya hanya mengejar populariti, sebaliknya perlu mengutamakan integriti serta membina legasi yang memberi manfaat kepada organisasi dan masyarakat.
Beliau berkata, sidang kemuncak bertemakan “Honouring Women. Inspiring Nations” itu menjadi platform penting dalam memperkukuh kepimpinan wanita menerusi perkongsian ilmu, jaringan strategik dan kerjasama di peringkat antarabangsa.
Penganjuran W.I.S.H. Global Leadership Summit 2026 mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 800 peserta termasuk delegasi luar negara seperti Maghribi dan Yugoslavia, sekali gus mencerminkan peranan Malaysia dalam memperkasa kepimpinan wanita di peringkat global.