
PUTRAJAYA, 31 Julai – Jabatan Imigresen (JIM) membatalkan serta-merta semua 1,306 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diluluskan secara tidak sah, susulan penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).
- Semua pemegang PLKS berkenaan sedang dikesan di pelbagai lokasi dan sektor.
- Tindakan lanjut termasuk tangkapan pegawai Imigresen dan siasatan diserahkan sepenuhnya kepada SPRM.
- Sindiket melibatkan orang dalam memasang perisian dan menggunakan ID pentadbir untuk mewujudkan akaun palsu meluluskan PLKS secara tidak sah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan semua pemegang PLKS berkenaan yang dipercayai berada di pelbagai lokasi dan sektor, sedang dikesan.
“Tindakan lanjut bakal diambil termasuk tangkapan melibatkan pegawai Imigresen sendiri dan kita serahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk siasatan dan tindakan lanjut,”katanya dalam sidang media khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di sini.
Beliau turut menegaskan JIM bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap warga asing yang terbabit selepas dikesan.
Mengulas lanjut mengenai modus operandi, Datuk Zakaria menjelaskan, siasatan mendapati sindiket memanipulasi sistem menerusi pembabitan orang dalam yang mempunyai akses serta pengetahuan mengenai sistem Imigresen.
Individu terbabit dipercayai memasang perisian tertentu pada komputer jabatan sebelum menggunakan ID pentadbir untuk mewujudkan akaun palsu bagi meluluskan PLKS secara tidak sah.