AGC pandang serius laporan RCI TH, teliti laporan untuk tindakan segera

Jabatan Peguam Negara

PUTRAJAYA, 30 Julai – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengambil tindakan segera meneliti dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penelitian bertujuan menentukan sama ada wujud pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan.
  • AGC memastikan siasatan badan penguat kuasa dijalankan secara menyeluruh dan komprehensif sebelum sebarang keputusan dibuat.
  • Keputusan pendakwaan, jika perlu, akan dibuat berdasarkan undang-undang dan keterangan boleh diterima tanpa dipengaruhi tekanan luar.
  • Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan dan keyakinan TH.

Penelitian itu bertujuan menentukan sama ada wujud pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan.

AGC dalam kenyataan pada Khamis berkata, penelitian berkenaan akan dibuat bagi memastikan semua aspek siasatan oleh badan penguat kuasa dilaksanakan secara menyeluruh dan komprehensif sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Jabatan ini akan mengambil tindakan segera meneliti laporan berkenaan bagi memastikan segala aspek siasatan oleh badan-badan penguat kuasa dapat dilaksanakan dengan menyeluruh dan komprehensif agar pertimbangan sewajarnya dapat dibuat bagi menentukan sama ada wujud sebarang pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan keputusan Jemaah Menteri untuk menyahklasifikasikan serta mendedahkan kepada umum Laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh berkenaan.

AGC berkata, tindakan itu selaras dengan tanggungjawab perlembagaan jabatan itu bagi memastikan setiap siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang dan berdasarkan bukti yang ada.

“Jabatan ini memberi jaminan bahawa sebarang
keputusan pendakwaan, jika perlu, akan dibuat berdasarkan undang-undang serta keterangan yang boleh diterima tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam,” tambah kenyataan itu.

Pada masa sama, AGC menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih.

Katanya, tindakan sedemikian boleh menjejaskan proses siasatan serta menghakis keyakinan terhadap kewibawaan dan kelangsungan TH dalam melaksanakan peranannya di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.