
JOHOR BAHRU, 30 Julai – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Johor merekodkan nilai rampasan keseluruhan lebih RM117 juta menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
- KDNKA Johor sentiasa memainkan peranan penting memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan keamanan negeri terpelihara.
- Empat kes e-waste, rampasan RM8.62 juta di bawah Seksyen 34 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.
- 28 kes penyeludupan minuman keras dan rokok, rampasan RM6.531 juta mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
- Op Bersepadu Khazanah: 46 kes berkaitan hidupan liar, rampasan RM96.74 juta di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Kejayaan itu dicapai menerusi operasi yang membabitkan Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 dan 6, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 2, selain pasukan operasi Ibu Pejabat Polis Daerah.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, KDNKA Johor sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan keamanan negeri terus terpelihara.
“Sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2026, kejayaan jabatan ini antaranya empat kes e-waste melibatkan nilai rampasan sebanyak RM8.62 juta di bawah Seksyen 34 Akta Kualiti Alam Sekitar 19 Alam Sekeliling 1974, sebanyak 28 kes kontraband penyeludupan minuman keras dan rokok melibatkan nilai rampasan RM 6.531 juta di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967”, katanya.
Tambahnya, KDNKA Johor turut merekodkan 24 kes penyelewengan minyak bersubsidi dengan nilai rampasan RM5.51 juta mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, menerusi Op Bersepadu Khazanah, sebanyak 46 kes kesalahan berkaitan hidupan liar melibatkan nilai rampasan RM96.74 juta direkodkan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Johor dan Pelepasan Bantuan Sumber Manusia Kontinjen Johor ke Kontinjen Negeri Sembilan di Dataran Kawad, IPK Johor, Johor Bahru.