GERD disasar meningkat kepada 2.5 peratus daripada KDNK

Gambar Hiasan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kerajaan menyasarkan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) meningkat kepada 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan kepada peningkatan pelaburan R&D sektor swasta dan pengkomersialan hasil penyelidikan.
  • Pengukuhan kerjasama kerajaan, industri dan akademia melalui perkongsian kemudahan dan konsortium strategik.
  • Insentif cukai untuk Rizab Malaysia Science Endowment dan pelaksanaan MyRDI memudahkan pembiayaan serta sokongan teknikal.
  • Dana difokuskan kepada bidang berimpak tinggi; TCA, NTIS dan Cradle dipercepatkan untuk pengkomersialan teknologi.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohammad Yusof Apdal berkata, sasaran itu lebih tinggi berbanding 1.01 peratus KDNK atau RM18.16 bilion yang direkodkan pada 2022, sekali gus melepasi sasaran minimum dua peratus.

Bagi mencapainya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada peningkatan pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sektor swasta, pengukuhan kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia serta pengkomersialan hasil penyelidikan.

Antara langkah diambil ialah menyediakan insentif cukai bagi rizab Malaysia Science Endowment (MSE) dan melaksanakan Sistem Pengiktirafan R&D Industri Malaysia (MyRDI) bagi memudahkan industri mendapatkan pembiayaan, bakat serta sokongan teknikal.

“Selain itu, kerajaan akan memfokuskan dana penyelidikan dan pembangunan kepada bidang berimpak tinggi menerusi pendekatan berorientasikan misi berasaskan sains, teknologi dan inovasi.

“Bidang berkenaan termasuk kedaulatan dan keterjaminan makanan serta tenaga, penciptaan nilai dalam industri sawit, teknologi kuantum, penjagaan kesihatan digital, industri semikonduktor termaju dan pemerkasaan masyarakat menua.

“Kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia turut akan diperkukuh menerusi perkongsian kemudahan penyelidikan, pembentukan konsortium strategik serta penyelarasan pelaburan R&D merentas kementerian dan agensi,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar di Dewan Negara.

Jelasnya lagi, pengkomersialan hasil penyelidikan pula akan dipercepat menerusi Technology Commercialisation Accelerator (TCA), National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), dana Cradle serta program pembangunan syarikat pemula dan teknopreneur.

“Pendekatan itu bertujuan memastikan peningkatan GERD tidak bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata.

“sebaliknya dipacu bersama sektor swasta dan industri bagi menghasilkan teknologi, meningkatkan produktiviti serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.