
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan serta tadbir urus wakaf negara sejak penubuhannya pada 27 Mac 2004.
- Penubuhan Yayasan Wakaf Malaysia pada 2008 sebagai entiti wakaf kebangsaan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri.
- Pembangunan 19 projek wakaf berimpak tinggi bernilai RM321 juta melalui RMK9 hingga RMK13 memberi manfaat kepada asnaf, pelajar dan usahawan.
- Penyediaan garis panduan dan manual tadbir urus wakaf termasuk istibdal, pengurusan tanah wakaf dan wakaf muakkad.
- Memperluas penyertaan melalui Pekeliling Am JPM Bil 1/2020 membenarkan potongan gaji sukarela, serta kempen Bulan Wakaf Kebangsaan dan program lain.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, JAWHAR berperanan menyelaras, memperkasa serta memacu pembangunan wakaf di peringkat Persekutuan agar dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, sistematik dan berkesan.
“Antara pencapaian utama ialah penubuhan Yayasan Wakaf Malaysia pada tahun 2008 sebagai entiti wakaf kebangsaan yang bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dalam membangunkan aset wakaf di seluruh negara.
“Sehingga kini, Yayasan Wakaf Malaysia telah membangunkan 19 projek wakaf berimpak tinggi di seluruh negara dengan kos keseluruhan RM321 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) hingga Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Projek berkenaan meliputi hotel wakaf, pangsapuri, pusat hemodialisis, premis perniagaan, kompleks pendidikan serta asrama anak yatim yang memberi manfaat kepada golongan asnaf, pelajar, usahawan dan masyarakat.
“Selain itu, yayasan turut menyediakan pelbagai garis panduan dan manual tadbir urus wakaf, termasuk berkaitan istibdal, pengurusan tanah wakaf dan wakaf muakkad, bagi menyeragamkan amalan pengurusan wakaf di seluruh negara,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Senator Baharuddin Ahmad di Dewan Negara hari ini.
Tambah beliau, dalam usaha memperluas penyertaan masyarakat dalam amalan berwakaf, kerajaan turut memperkenalkan Pekeliling Am Jabatan Perdana Menteri Bilangan 1 Tahun 2020 yang membolehkan penjawat awam menyalurkan sumbangan wakaf tunai secara sukarela menerusi potongan gaji.
Beliau berkata, usaha memperkukuh promosi wakaf terus diperkasa menerusi kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), agensi kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta, termasuk penganjuran Bulan Wakaf Kebangsaan serta program Zakat and Wakaf Run.