Kadar pengisian guru di Sabah cecah 97.45%

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kadar pengisian guru di semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di Sabah telah mencapai 97.45 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM dan KPT tubuhkan Sekretariat Bersama sejak Mac 2025 untuk selaraskan unjuran keperluan guru dan pengambilan graduan pendidikan.
  • Pengambilan guru tetap dilaksanakan dua kali setahun; SPP buka permohonan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 secara dalam talian sepanjang tahun.
  • Melalui Dasar 90:10, keutamaan diberi kepada anak tempatan Sabah; baki 10 peratus diisi guru dari negeri lain mengikut keperluan.
  • Pelan tindakan berfasa dilaksanakan untuk penyelenggaraan segera dan pembangunan semula bangunan sekolah daif, termasuk 437 projek melalui RMK13.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, bagi mempercepat pengisian kekosongan guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menubuhkan Sekretariat Bersama KPM-KPT sejak Mac 2025 bagi menyelaras unjuran keperluan guru serta pengambilan graduan pendidikan secara lebih bersepadu.

Pengambilan guru tetap juga dilaksanakan sebanyak dua kali setahun, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) turut membuka permohonan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 secara dalam talian sepanjang tahun.

“KPM sentiasa memastikan keperluan guru di Sabah dipenuhi mengikut kekosongan jawatan dan opsyen mata pelajaran.

“Menerusi Dasar 90:10, kita beri keutamaan kepada anak tempatan Sabah untuk berkhidmat di negeri sendiri, manakala baki 10 peratus lagi diisi oleh guru dari negeri lain mengikut keperluan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Senator Datuk Phoong Jin Zhe berkenaan pelan tindakan khusus Kerajaan bagi menangani isu kekurangan guru dan infrastruktur pendidikan di Sabah supaya prinsip kesaksamaan pendidikan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat direalisasikan.

Mengulas mengenai infrastruktur pendidikan di Sabah, Wong berkata pelan tindakan secara berfasa telah dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada penyelenggaraan sekolah yang memerlukan tindakan segera serta pembangunan semula bangunan sekolah daif.

Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), KPM telah meluluskan 437 projek pembangunan di Sabah yang terdiri daripada 31 projek baharu dan 406 projek sambungan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.