
RANTAU PANJANG, 28 Julai – Cubaan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini melalui pengkalan haram di Rantau Panjang gagal apabila mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam Op Taring Wawasan Kelantan, hari ini.
- Dua lelaki warga Thailand, 22 dan 35 tahun, ditahan di Sekatan Pintas Serongga kerana tiada dokumen pengenalan diri.
- Mereka dipercayai memasuki Malaysia menggunakan bot melalui Pengkalan Haram Pasir sektor A dengan bayaran 1,000 baht.
- PGA merampas sebuah kereta dan dua telefon bimbit bernilai kira-kira RM6,000; kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua suspek lelaki warga Thailand berusia 22 dan 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Sekatan Pintas Serongga ketika menaiki sebuah kereta dalam keadaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek tidak menemukan sebarang barangan yang menyalahi undang-undang sebelum mereka ditahan kerana disyaki memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan di Pengkalan Haram Pasir.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai memasuki Malaysia menggunakan bot melalui Pengkalan Haram Pasir di sektor A, Rantau Panjang dengan bayaran sebanyak 1,000 baht.
“Mereka memaklumkan tujuan memasuki negara ini adalah untuk bertemu saudara mereka yang dikenali sebagai Dollah di sekitar Rantau Panjang sebelum menggunakan sebuah kereta yang dipinjam daripada seorang rakan bagi bergerak di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, PGA turut merampas sebuah kereta dan dua unit telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM6,000.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.