MATRADE komited perkasa eksport, pantau rapi risiko perdagangan global

Foto fail

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus memperkasa peranannya dengan memperkukuh daya tahan perdagangan serta daya saing eksport negara di pasaran global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memantau rapat risiko ketidaktentuan geopolitik dan situasi Asia Barat untuk melindungi eksport Malaysia.
  • Meneliti gangguan rantaian bekalan global dengan perhatian rapi terutama dalam beberapa bulan akan datang.
  • 47 pejabat perdagangan luar negara memantau pasaran masa nyata dan menyalurkan maklumat risikan kepada pengeksport.
  • Pasukan Petugas Daya Tahan Perdagangan menghimpunkan risikan membantu pemain besar hingga PKS kecil untuk mitigasi proaktif.

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, walaupun eksport melonjak ketara bagi separuh pertama 2026, agensi itu akan terus memantau rapat risiko ketidaktentuan geopolitik serta situasi semasa di Asia Barat.

Jelasnya, gangguan rantaian bekalan global juga memerlukan penelitian rapi terutamanya dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

”Menerusi rangkaian 47 pejabat perdagangan luar negara, MATRADE akan terus memantau keadaan pasaran secara masa nyata serta menyalurkan maklumat risikan pasaran kepada pengeksport Malaysia apabila berlaku sebarang perubahan landskap.

”Melalui Pasukan Petugas Daya Tahan Perdagangan, MATRADE menghimpunkan segala maklumat risikan yang diperlukan bagi membantu para pengeksport daripada pemain industri terbesar sehingga kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terkecil,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, inisiatif ini bertujuan mengenal pasti potensi gangguan lebih awal agar langkah mitigasi dapat diambil secara proaktif, bukan sekadar bertindak balas apabila gangguan berlaku.

Bagi tempoh separuh pertama 2026, jumlah perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 22.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.796 trilion, manakala eksport melonjak 27.5 peratus kepada RM971.59 bilion, pertumbuhan terpantas sejak 2021.

Lebihan dagangan Malaysia juga menokok sebanyak 159.8 peratus kepada RM147.15 bilion bersamaan 94 peratus daripada keseluruhan lebihan dagangan yang direkodkan negara sepanjang 2025.

Malaysia turut merekodkan lebihan dagangan dengan 158 rakan dagang manakala 92 daripadanya mencatatkan peningkatan lebihan dagangan berbanding tahun sebelumnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.