
SEREMBAN, 28 Julai – Kerajaan menyasarkan harga minimum getah RM5 sekilogram menjelang akhir tahun 2027 sebagai usaha meningkatkan pendapatan serta memartabatkan kehidupan lebih 508,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.
- Timbalan Perdana Menteri arahkan pengurusan baharu RISDA memastikan sasaran harga minimum getah dicapai.
- Usaha ini bertujuan meningkatkan pendapatan, memartabatkan serta memastikan kebajikan pekebun kecil terus terbela.
- Walaupun harga dipengaruhi permintaan dan penawaran antarabangsa, kerajaan yakin pengurusan RISDA mampu merealisasikan sasaran.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sasaran itu menjadi keutamaan pengurusan baharu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) demi meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil.
“Arahan saya jelas, iaitu memastikan harga minimum getah mencecah RM5 sekilogram menjelang akhir tahun 2027. Itulah harga yang bermaruah. Arahan ini mesti dilaksanakan oleh pengurusan baharu RISDA bagi memastikan kebajikan pekebun kecil terus terbela,” katanya.
Beliau berkata demikian kita berucap dalam Program Konvensyen Pekebun Kecil Risda di Hitel Royale Chulan, di sini hari ini.
Menurut beliau, pekebun kecil bukan sahaja menyumbang kepada pengeluaran getah negara, malah menjadi pemacu ekonomi keluarga dan komuniti luar bandar.
Di Negeri Sembilan sahaja, terdapat kira-kira 43,000 pekebun kecil getah yang bergantung kepada hasil tanaman itu sebagai sumber pendapatan.
Sasaran tersebut perlu direalisasikan walaupun harga getah dipengaruhi permintaan dan penawaran pasaran antarabangsa.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yakin pengurusan baharu RISDA mampu merealisasikan sasaran tersebut demi memperkukuh kesejahteraan pekebun kecil di seluruh negara.