
PASIR MAS, 27 Julai – Cubaan membawa masuk 100 kilogram (kg) udang harimau perang dari Thailand digagalkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
- Operasi Bersepadu AKPS, Jabatan Perikanan dan MAQIS mengesan cubaan penyeludupan di Kompleks ICQS Rantau Panjang.
- Pemandu mengemukakan invois menyatakan ikan dan kerang, menyorokkan tong udang di dasar kargo.
- Pemeriksaan mendedahkan udang harimau perang disembunyikan di bawah muatan yang diisytiharkan.
- Kerajaan mengekalkan sekatan import serta kawalan ketat terhadap lima spesies udang dan ikan siakap dari Thailand.
Komander AKPS Rantau Panjang, Siti Khadijah Hamzah berkata cubaan itu dikesan menerusi Operasi Bersepadu melibatkan AKPS Rantau Panjang, Jabatan Perikanan serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
“Pemandu lori terbabit mengemukakan invois yang mengisytiharkan muatan ikan dan kerang.
Namun pemeriksaan mendapati terdapat tong yang mengandungi udang harimau perang disembunyikan di bahagian paling bawah muatan,” katanya.
Beliau berkata kes itu dirujuk kepada MAQIS Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Kerajaan mengekalkan sekatan import dan kawalan ketat terhadap lima spesies udang serta ikan siakap dari Thailand berikutan arahan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkuat kuasa 1 Jun lalu.