
KUALA LUMPUR, 25 Julai – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menyarankan kesemua 222 Ahli Parlimen menganjurkan program Larian Cergas di kawasan masing-masing sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan wakil rakyat dan masyarakat.
- Larian lima kilometer julung kali di pekarangan Parlimen menjadi titik tolak untuk diperluas dan dipantau di setiap kawasan Parlimen.
- Program memupuk amalan hidup sihat serta memperkukuh hubungan antara Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik.
- Jumlah keseluruhan jarak larian akan dikumpulkan bagi usaha mencatat rekod dunia melalui penyertaan serentak Ahli Parlimen.
Penganjuran larian sejauh lima kilometer yang julung kali berlangsung di pekarangan Bangunan Parlimen hari ini menjadi titik tolak kepada pelaksanaan inisiatif berkenaan, yang akan diperluas serta dipantau secara menyeluruh di setiap kawasan Parlimen.
“Saya akan pantau semua Ahli Parlimen. Mereka akan menganjurkan larian cergas di kawasan masing-masing dan menyertainya bersama rakyat.
“Kemudian kita akan kumpulkan jumlah jarak larian dari semua kawasan Parlimen, dari Perlis hingga Sabah dan Sarawak. Mungkin kita boleh memecahkan rekod dunia dengan penyertaan semua Ahli Parlimen,” katanya selepas menyertai Larian Cergas Parlimen 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah serta lebih 20 Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik.
Tan Sri Johari berkata program tersebut bukan sahaja memupuk amalan hidup sihat, malah berperanan memperkukuh hubungan antara Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik.
“Sama ada kerajaan atau pembangkang, ini untuk rakyat. Yang penting kita cergas.
“Ahli Parlimen ialah ‘influencer.’ Mereka memimpin rakyat, jadi dalam soal kesihatan juga mereka harus menjadi contoh,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif itu melengkapkan usaha sedia ada di Parlimen termasuk pelaksanaan hari tanpa gula setiap Rabu serta pemeriksaan kesihatan wajib bagi Ahli Parlimen.
Tan Sri Johari berkata Larian Cergas Parlimen edisi pertama itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 600 peserta dari pelbagai negeri.
“Ini permulaan yang baik dan saya yakin program seperti ini akan terus berkembang di semua kawasan Parlimen,” katanya.
Tambah beliau, jumlah keseluruhan jarak larian dari seluruh kawasan Parlimen akan dikumpulkan sebagai usaha mencatat rekod dunia menerusi penyertaan serentak Ahli Parlimen di seluruh negara.