Sindiket penyeludupan senjata api tumpas, lapan ditahan

Foto BERNAMA

KANGAR, 24 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyeludupan senjata api yang aktif sejak 2019 hasil operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perlis, Perak dan Kedah menerusi lapan siri serbuan bermula awal bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan 30 senjata pelbagai jenis bernilai RM360,000.
  • Lapan lelaki tempatan ditahan, berusia 40 hingga 70 tahun, termasuk pesara, ahli perniagaan dan penjawat awam.
  • Rampasan termasuk lapan senjata api sebenar, 21 laras airsoft dan sepucuk senapang angin buatan sendiri.
  • Siasatan awal: kebanyakan senjata dipercayai diseludup dari negara jiran untuk sukan dan berburu; suspek tidak berdaftar kelab menembak.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, serbuan membawa kepada rampasan 30 senjata pelbagai jenis bernilai RM360,000.

Lapan lelaki warga tempatan berusia antara 40 hingga 70 tahun ditahan, membabitkan pesara, ahli perniagaan dan penjawat awam.

“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai hubungan yang membolehkan mereka berkomunikasi bagi urusan jual beli senjata api.

“Kita juga mendapati ada antara senjata yang dirampas bernilai antara RM13,000 hingga RM18,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis hari ini.

Rampasan melibatkan lapan pucuk senjata api sebenar, 21 laras senjata ‘airsoft’ dan sepucuk senapang angin buatan sendiri.

Polis turut merampas ratusan butir peluru pelbagai kaliber, hampir 9,000 kelongsong peluru serta pelbagai komponen dan aksesori berkaitan.

Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, siasatan awal mendapati kebanyakan senjata dipercayai diseludup dari negara jiran untuk tujuan sukan dan berburu.

Semua suspek tidak berdaftar dengan mana-mana kelab menembak, sebaliknya dipercayai bertindak atas dasar minat serta mempunyai kemahiran menghasilkan senjata api buatan sendiri.

Daripada lapan suspek yang ditahan, tiga daripadanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar dan Mahkamah Sesyen Kulim pada 17 serta 21 Julai lalu, manakala lima lagi masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.