Kerajaan teruskan rundingan tarif berkaitan isu buruh paksa dengan AS

Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA

PORT DICKSON, 24 Julai – Rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif baharu berkaitan isu buruh paksa akan terus dilakukan sekiranya keputusan yang diterima masih belum memuaskan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan melihat pengumuman AS sebagai melegakan kerana kadar relatif rendah, dan akan memantau untuk memelihara kepentingan ekonomi, perdagangan dan daya saing negara.
  • Malaysia antara negara ASEAN dikenakan duti 10 peratus di bawah Seksyen 301 susulan kegagalan melaksanakan larangan import barangan hasil buruh paksa.
  • USTR mengenakan tindakan Seksyen 301 ke atas 60 ekonomi; kebanyakan lain 12.5 peratus, dan Malaysia boleh dipertimbang untuk kuota tarif berdasarkan import input AS.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil kira perkembangan semasa berkaitan perkara itu, termasuk kedudukan negara berbanding negara-negara lain.

Kerajaan mengambil maklum mengenai pengumuman terkini oleh AS berkaitan kadar tarif itu dan melihatnya sebagai perkembangan yang melegakan berikutan kadarnya secara relatif adalah rendah.

“Amerika Syarikat merupakan rakan dagang penting Malaysia sejak sekian lama. Walaupun terdapat beberapa isu yang perlu diputuskan dan diteliti dari semasa ke semasa.

“Kita akan membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan negara. Buat masa ini, kita berasa lega kerana masih terdapat ruang untuk rundingan dan persefahaman dengan negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di sini hari ini.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Malaysia akan terus mengikuti perkembangan berkaitan isu tarif berkenaan bagi memastikan kepentingan ekonomi, perdagangan dan daya saing negara terus terpelihara.

Media melaporkan Malaysia merupakan antara negara ASEAN yang dikenakan kadar duti terendah sebanyak 10 peratus di bawah tarif baharu Seksyen 301 AS susulan kegagalan melaksanakan dan menguatkuasakan secara berkesan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

Selain Malaysia, Kemboja dan Indonesia turut dikenakan kadar duti 10 peratus, menurut kenyataan Wakil Perdagangan AS (USTR) Duta Jamieson Greer.

USTR memaklumkan tindakan itu diambil di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 terhadap 60 ekonomi susulan siasatan mendapati mereka gagal melaksanakan dan menguatkuasakan secara berkesan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

Pada masa yang sama, USTR memaklumkan semua ekonomi lain dikenakan kadar duti Seksyen 301 sebanyak 12.5 peratus manakala Malaysia turut layak dipertimbangkan bagi pelaksanaan kuota kadar tarif berdasarkan import input dari AS bagi menggalakkan peningkatan penggunaan kapas dan produk tekstil dari negara itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.