Nicolas Otamendi umum persaraan daripada pentas antarabangsa

Pertahanan kental Argentina, Nicolas Otamendi/REUTERS

BUENOS AIRES, 24 Julai – Pertahanan kental Argentina, Nicolas Otamendi mengumumkan persaraannya daripada pentas bola sepak antarabangsa pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menamatkan karier gemilang 17 tahun bersama skuad kebangsaan Argentina.
  • Mencatat 139 penampilan dan bermain hingga final Piala Dunia, tewas 0-1 kepada Sepanyol.
  • Menganggap perpisahan sebagai detik paling sukar, berterima kasih kepada Argentina menerusi hantaran Instagram.
  • Pemain penting dalam kejayaan Piala Dunia 2022 dan dua Copa America dan kini menyertai River Plate selepas 16 tahun di Eropah.

Pesaraan itu sekali gus menamatkan karier gemilangnya selama 17 tahun bersama skuad kebangsaan Argentina.

Pemain pertahanan berusia 38 tahun itu merekodkan 139 penampilan bersama skuad La Albiceleste dan merupakan sebahagian daripada skuad yang mara ke pentas akhir Piala Dunia di Amerika Syarikat, sebelum tewas 0-1 kepada Sepanyol.

Menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, Otamendi menyifatkan keputusan itu sebagai detik paling sukar dalam kerjayanya.

“Seperti yang ditakdirkan, perlawanan terakhir saya ialah di perlawanan Piala Dunia. Walaupun ia bukan keputusan yang kami harapkan, saya keluar dengan bangga kerana tahu pasukan ini telah memberikan segalanya sehingga saat terakhir.

“Terima kasih Argentina kerana membenarkan saya merealisasikan impian menjadi juara dunia,” katanya.

Sepanjang menyarung jersi kebangsaan menerusi empat edisi Piala Dunia, Otamendi menjadi watak penting sewaktu membantu Argentina menjulang trofi Piala Dunia 2022 di Qatar selain memenangi dua gelaran Copa America.

Di peringkat kelab, Otamendi baru-baru ini menyertai gergasi bola sepak Argentina, River Plate, selepas menamatkan tempoh 16 tahun yang sarat kejayaan di Eropah bersama Porto, Valencia, Manchester City dan Benfica. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.