ASEAN gesa kebebasan pelayaran, bimbang kesan konflik AS-Iran

Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN di Manila berakhir semalam./AFP

MANILA, 24 Julai – Menteri-menteri Luar ASEAN menggesa kebebasan pelayaran di selat-selat antarabangsa dikekalkan ketika menutup Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Manila, susulan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga akibat konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • ASEAN menggesa semua pihak menahan diri untuk meredakan konflik Asia Barat yang memberi kesan ekonomi kepada rantau ini.
  • Gangguan laluan strategik susulan serangan terhadap Iran menjejaskan bekalan tenaga, menaikkan harga bahan api; Filipina mengisytiharkan darurat negara.
  • ASEAN dan China beriltizam memuktamadkan Kod Tatalaku Laut China Selatan sebelum penghujung tahun, walau ketegangan dan insiden pertembungan laut berterusan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Khamis, ASEAN turut menggesa semua pihak mengamalkan sikap menahan diri bagi meredakan konflik di Asia Barat yang semakin memberi kesan ekonomi kepada rantau ini.

Kenyataan itu buat pertama kali menegaskan kepentingan kebebasan pelayaran dan penerbangan di ruang udara di atas selat-selat antarabangsa, selain menggesa laluan melalui Selat Hormuz kekal terbuka tanpa sebarang halangan.

Sebelum ini, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memberi amaran bahawa sebarang kawalan Iran ke atas Selat Hormuz akan mewujudkan “precedent berbahaya” yang boleh mengancam prinsip kebebasan pelayaran antarabangsa.

Penutupan laluan strategik itu susulan serangan bersama AS dan Israel ke atas Iran telah menyebabkan beberapa negara di Asia Tenggara berdepan kekurangan bekalan tenaga dan kenaikan harga bahan api, dengan Filipina mengisytiharkan darurat negara.

Walaupun ASEAN mengulangi komitmen memperkukuh kerjasama tenaga serantau, tiada perkembangan baharu diumumkan mengenai pelaksanaan inisiatif seperti grid tenaga serantau atau mekanisme perkongsian bekalan bahan api.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Luar Filipina, Theresa Lazaro, berkata ASEAN dan China masih beriltizam memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan sebelum penghujung tahun ini.

Beliau berkata, kedua-dua pihak mempunyai iltizam politik untuk menyelesaikan rundingan berhubung kod berkenaan meskipun ketegangan di Laut China Selatan terus berlaku.

Bagaimanapun, beberapa jam sebelum mesyuarat berakhir, Pengawal Pantai Filipina mendakwa kapal Pengawal Pantai China menggunakan meriam air dan melakukan manuver berbahaya bagi menghalang kapal Filipina menghantar bantuan kepada nelayan berhampiran terumbu yang menjadi pertikaian.

China pula memaklumkan pihaknya mengambil “langkah yang perlu” untuk mengusir kapal Filipina yang didakwa memasuki perairan wilayahnya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.