Menara FINAS Damansara perkukuh pembangunan industri kreatif

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ketika berucap pada Majlis Simbolik Perpindahan Operasi FINAS ke Menara FINAS Damansara / BERNAMA

PETALING JAYA, 23 Julai- Perpindahan operasi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ke Menara FINAS Damansara bakal memperkukuh pembangunan industri filem dan kandungan kreatif negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menara FINAS Damansara akan memperkukuh pembangunan industri filem dan kandungan kreatif negara.
  • Perpindahan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperkasa transformasi organisasi.
  • Kementerian Komunikasi menyokong FINAS memperkasakan bakat tempatan serta perluas akses pasaran global dan tarik pelaburan.
  • Menara beroperasi sepenuhnya 1 Ogos; studio dan fasiliti pascaproduksi di Kompleks Studio Merdeka terus menyokong penggiat industri.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah itu turut meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperkasa transformasi organisasi.

“Menara FINAS Damansara bakal menjadi simbol transformasi organisasi, pusat pemikiran strategik serta pemangkin kepada pembangunan industri kreatif negara yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing di peringkat serantau serta antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Simbolik Perpindahan Operasi FINAS ke Menara FINAS Damansara, di sini.

Menurut beliau, Kementerian Komunikasi akan terus menyokong FINAS dalam memperkasakan bakat tempatan.

Jelasnya, usaha itu termasuk memperluas akses ke pasaran global, menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor kreatif serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kandungan kreatif yang disegani di rantau ini.

“Saya yakin dengan komitmen seluruh warga FINAS serta sokongan padu daripada pemain industri, perpindahan ini akan membuka ruang kepada lebih banyak pembaharuan, kerjasama strategik dan pencapaian yang lebih membanggakan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac berkata, proses perpindahan warga kerja ke bangunan baharu bermula awal Julai lalu.

Beliau memaklumkan, Menara FINAS Damansara akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata, perpindahan itu tidak menjejaskan operasi di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang.

Katanya, kemudahan teknikal seperti soundstage, mix stage dan fasiliti pascaproduksi akan terus beroperasi bagi menyokong keperluan penggiat industri kreatif.

“Ibu pejabat baharu setinggi 15 tingkat itu akan menempatkan pengurusan tertinggi dan bahagian dasar terlebih dahulu.

Pembangunan kemudahan teknikal termasuk studio akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai fasa seterusnya,” katanya.

Menurut beliau, lebih 300 kakitangan FINAS di Semenanjung akan ditempatkan di Menara FINAS Damansara.

Selebihnya akan terus berkhidmat di pejabat FINAS Sabah dan Sarawak serta beberapa unit operasi yang kekal di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.