
KUANTAN, 23 Julai – Polis Pahang berjaya menumpaskan sindiket curi kabel solar dikenali sebagai ‘Geng Lakino Garuda’ dengan penahanan sembilan suspek dalam beberapa siri serbuan di Pahang dan Selangor pada 27 Jun hingga 17 Julai lalu.
- Lima kes di Kuantan dan Pekan melibatkan kehilangan kira-kira 98,000 meter kabel solar dan anggaran kerugian RM900,000.
- Soal siasat mendapati enam suspek terlibat mencuri; selebihnya pembeli; usia antara 26 hingga 52 tahun, dua mempunyai rekod lampau, tujuh positif methamphetamine dan amphetamine.
- Rampasan bernilai kira-kira RM500,000 termasuk lori, pacuan empat roda, kabel TNB, pita tembaga, cip elektronik dan telefon bimbit; dua suspek masih diburu.
Menurut Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, di Pahang sahaja, lima kes kecurian dilaporkan berlaku di Kuantan dan Pekan yang membabitkan kehilangan kira-kira 98,000 meter kabel solar serta komponen telekomunikasi dengan anggaran kerugian kira-kira RM900,000.
“Ekoran daripada tangkapan tersebut, soal siasat yang telah dijalankan mendapati enam orang suspek ini terlibat secara langsung dalam kejadian mencuri kabel solar dan juga komponen telekomunikasi.
“Manakala selebihnya adalah merupakan pembeli kepada barang-barang ini”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Kuantan.
Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 26 hingga 52 tahun dengan dua daripadanya mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah. Manakala tujuh lagi suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Dalam operasi tersebut, polis turut merampas pelbagai barangan kes yang dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000 termasuk sebuah lori, sebuah kenderaan pacuan empat roda, kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), pita tembaga, cip elektronik, peralatan telekomunikasi serta beberapa telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu.
Kesemua suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta curi.
Dalam pada itu, polis masih memburu dua lagi suspek lelaki yang dipercayai masih bebas bagi membantu siasatan.
Sepanjang tempoh Februari hingga Jun lalu, sebanyak 21 kes kecurian kabel solar dan komponen telekomunikasi dilaporkan berlaku di Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Daripada jumlah itu, Perak merekodkan lapan kes, Pahang dan Negeri Sembilan masing-masing lima kes, manakala Terengganu sebanyak tiga kes.