
LABUAN, 23 Julai – Program Road To MAHA Labuan 2026 yang membuka tirainya di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan hari ini menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung, sebagai usaha memperkasa sektor agromakanan dan merancakkan ekonomi komuniti tempatan.
- Siri Road To MAHA julung kali jadi platform strategik menghimpun pemain industri, usahawan dan komuniti untuk menguatkan sektor pertanian, penternakan dan perikanan.
- Program empat hari tawarkan pameran agro gastronomi, Jualan Agro MADANI, padanan perniagaan, perkongsian teknologi dan jualan produk tempatan.
- Dianggap mampu memperkasakan ekosistem pertanian tempatan melalui pendedahan teknologi moden dan latihan keusahawanan kepada usahawan tani.
Penganjuran julung kali siri jelajah promosi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2026) itu menjadi platform strategik menghimpunkan pemain industri, usahawan serta komuniti bagi memperkukuh pembangunan sektor pertanian, penternakan dan perikanan di wilayah ini.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, program empat hari itu membuka ruang kepada usahawan tani tempatan menerokai teknologi baharu, memperluas akses pasaran serta menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
“Saya menyeru supaya semua warga Wilayah Persekutuan untuk sama-sama memeriahkan Road To MAHA kali ini yang julung-julung kali diadakan dan pada masa sama untuk menerokai potensi-potensi yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk di Labuan bagi memastikan peningkatan hasil pertanian oleh warga Labuan sendiri,” katanya demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan peluncuran program berkenaan yang dijadualkan berlangsung hingga 26 Julai ini.
Antara pengisian utama sepanjang program empat hari itu termasuklah pameran agro dan gastronomi, Jualan Agro MADANI, padanan perniagaan, perkongsian teknologi, aktiviti interaktif serta jualan produk tempatan.
Penganjuran program itu dijangka memberi impak positif dalam memperkasakan ekosistem pertanian tempatan menerusi pendedahan kepada aplikasi teknologi moden dan latihan keusahawanan secara terus.