Pelancongan koperasi tempatan berpotensi jadi model perniagaan koperasi antarabangsa

Delegasi Program Imersi Serantau Mengenai Pelancongan Koperasi / Foto FB Angkatan Koperasi Kebangsaan (M) Bhd – ANGKASA

RAUB, 23 Julai – Pelancongan koperasi tempatan berpotensi menjadi model perniagaan mampan yang mampu menjana pendapatan, memperluaskan akses pasaran dan memperkukuh jaringan perdagangan koperasi di rantau Asia Pasifik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancongan koperasi bukan sekadar aktiviti komuniti; ia memperkasa ekonomi setempat melalui pembangunan keusahawanan, penglibatan belia dan penyertaan masyarakat.
  • Model pembangunan boleh menjadi contoh perkongsian amalan terbaik dengan rakan koperasi antarabangsa termasuk pelancongan koperasi sekolah dan inap desa komuniti.
  • Program imersi serantau membawa 23 peserta dari tujuh negara untuk mengalami homestay, lawatan dan sesi perkongsian pengurusan pelancongan koperasi Malaysia.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, model itu bukan sekadar aktiviti komuniti, malah mampu memperkasa ekonomi setempat menerusi pembangunan keusahawanan, penglibatan belia dan penyertaan masyarakat.

“Model pembangunan pelancongan koperasi negara juga mampu menjadi contoh perkongsian amalan terbaik dengan jaringan rakan koperasi antarabangsa, termasuk pelancongan koperasi sekolah dan koperasi inap desa berasaskan komuniti,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Program Imersi Serantau Mengenai Pelancongan Koperasi anjuran Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) di Desa Kirana, Kampung Peruas, Ulu Dong, di sini.

Program yang berlangsung di Raub dan Jerantut dari 22 hingga 26 Julai itu menghimpunkan 23 peserta daripada 14 organisasi di tujuh negara Asia Pasifik untuk meninjau model pelancongan koperasi di Malaysia.

Program bertemakan ‘Pelancongan Koperasi, Meneroka Potensi Perniagaan’ itu memberi peluang kepada peserta merasai sendiri pengalaman tinggal bersama komuniti setempat melalui ekosistem pelancongan koperasi Malaysia.

Peserta turut ditempatkan bersama keluarga angkat di Kampung Peruas dibawah Koperasi Homestay Kampung Peruas Raub Berhad (KOPERAD) serta mengikuti lawatan dan sesi perkongsian mengenai pengurusan pelancongan koperasi berasaskan komuniti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.