Malaysia meterai perolehan sistem peluru berpandu LCS di FIA 2026

SST itu ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali pada hari pembukaan FIA 2026./ MINDEF

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Malaysia memeterai Surat Setuju Terima (SST) bersama MBDA France bagi perolehan sistem peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) untuk melengkapkan keupayaan persenjataan Kampal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sempena Farnborough International Airshow (FIA) 2026 di United Kingdom.

RINGKASAN BERITA AI
  • Surat Setuju Terima ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada pembukaan FIA 2026.
  • Delegasi MINDEF adakan perbincangan dua hala dengan pengeluar pertahanan global termasuk Gulfstream, KAI, RTX, Turkish Aerospace, Saab, Rolls-Royce dan Lockheed Martin.
  • Perbincangan menumpukan pelaksanaan program, perolehan aset, teknologi, penyelenggaraan, sokongan kitar hayat dan peluang kerjasama untuk memperkukuh kesiapsiagaan ATM dan industri tempatan.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memaklumkan SST itu ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali pada hari pembukaan FIA 2026.

“Perolehan berkenaan merupakan kontrak pelengkap penting bagi projek LCS bagi memastikan kapal terbabit memiliki keupayaan pertahanan udara yang memenuhi keperluan operasi TLDM.

“Pemeteraian SST ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan strategik pertahanan maritim negara bagi mendepani cabaran geopolitik semasa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Datuk Lokman Hakim bersama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris turut mengadakan siri libat urus strategik bersama syarikat peneraju industri pertahanan dan aeroangkasa global, pada hari kedua FIA 2026

Delegasi MINDEF mengadakan perbincangan dua hala dengan IPT, Gulfstream, Korea Aerospace Industries (KAI), RTX Pratt & Whitney, Turkish Aerospace Industries, Saab, Rolls-Royce dan Lockheed Martin.

“Perbincangan tertumpu kepada status pelaksanaan program kerjasama dan perolehan aset, selain menilai perkembangan teknologi, penyelenggaraan, sokongan kitar hayat aset serta meneroka peluang kerjasama baharu bagi memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pembangunan industri pertahanan tempatan,” menurut kenyataan MINDEF.

Ssiri libat urus itu mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan industri global selaras aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.