Belia, mahasiswa dipelawa sertai petugas khas MAHA 2026

FB Expo MAHA

PUTRAJAYA, 23 Julai – Golongan belia dan mahasiswa dipelawa merebut peluang menjadi sebahagian daripada barisan hadapan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menerusi penyertaan sebagai petugas khas pameran yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini dari 28 Ogos hingga 6 Sept ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permohonan melalui imbas QR di platform media sosial rasmi MAHA 2026 dan MAEPS sehingga akhir Julai; calon disenarai pendek untuk saringan dan temu duga.
  • Pengambilan awal disasarkan 200 hingga 300 petugas, boleh meningkat hingga 500; penempatan mengikut kemahiran dalam acara, khidmat pengunjung, keselamatan dan operasi.
  • Perkhidmatan sekitar dua minggu termasuk persediaan dan penutupan; petugas diberi taklimat awal Ogos, elaun serta kemudahan makan dan minum.

Ketua Pegawai Operasi MardiCorp Hazwan Hussein berkata permohonan boleh dibuat dengan mengimbas kod respons pantas (QR) yang dipaparkan menerusi platform media sosial rasmi MAHA 2026 dan MAEPS sehingga penghujung Julai ini, sebelum calon yang disenarai pendek dipanggil menghadiri sesi saringan dan temu duga.

“Di platform itu ada QR dan pemohon boleh mendaftar permohonan. Daripada situ, kami akan buat saringan dan temu duga untuk beberapa perkara sebelum kami muktamadkan.

“Antara syarat adalah berusia 18 tahun ke atas dan perlu menepati beberapa syarat lain seperti mempunyai pengalaman terlibat dalam sebarang penganjuran acara dan kemahiran tertentu untuk memudahkan kami mengenal pasti penempatan mereka,” katanya kepada Bernama.

Hazwan berkata pengambilan itu disasarkan antara 200 hingga 300 petugas pada peringkat awal, namun jumlah berkenaan boleh ditingkatkan sehingga 500 orang bergantung kepada keperluan operasi.

Beliau berkata petugas yang dipilih akan ditempatkan dalam pelbagai fungsi termasuk pengurusan acara, khidmat pengunjung, keselamatan dan operasi berdasarkan kemahiran, pengalaman serta maklumat yang dikemukakan ketika proses permohonan.

“Petugas ini adalah antara barisan hadapan MAHA 2026. Mereka bukan sahaja membantu melancarkan perjalanan acara, malah menjadi wajah yang berinteraksi secara langsung dengan pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.

Hazwan berkata penyertaan sebagai petugas khas memberi peluang kepada peserta menimba pengalaman mengendalikan acara berskala nasional, membina rangkaian profesional serta meningkatkan kemahiran dalam bidang pengurusan acara, pertanian dan komersial.

“Pengalaman ini boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada portfolio kerjaya, khususnya bagi golongan belia dan mahasiswa yang ingin menceburi bidang berkaitan pertanian,” katanya.

Hazwan berkata pengambilan petugas berkenaan adalah keperluan setiap kali MAHA dianjurkan bagi menampung keperluan tenaga kerja sepanjang penganjuran acara dwitahunan itu.

Beliau berkata semua calon yang berjaya akan dimaklumkan secara rasmi pada awal Ogos sebelum menghadiri sesi taklimat mengenai skop tugasan, perjalanan keseluruhan MAHA 2026 serta pengurusan pengunjung.

“Mereka juga akan diberikan pendedahan mengenai atur cara MAHA, lokasi-lokasi utama dan maklumat berkaitan supaya dapat membantu menjawab pertanyaan pengunjung sepanjang MAHA berlangsung,” katanya.

Hazwan berkata tempoh perkhidmatan petugas dianggarkan sekitar dua minggu, merangkumi persediaan sebelum acara, sepanjang penganjuran MAHA serta kerja-kerja penutupan tapak selepas acara berakhir.

“Petugas akan menerima elaun serta kemudahan makan dan minum sepanjang tempoh bertugas,” katanya.

Beliau berkata penyertaan dibuka kepada rakyat Malaysia dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, dengan calon yang berpangkalan di Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai kelebihan dari segi logistik tanpa menjejaskan peluang pemohon dari negeri lain.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini dilaporkan berkata MAHA 2026 menyasarkan kehadiran 4 juta pengunjung serta potensi pelaburan bernilai RM8 bilion menerusi pelbagai inisiatif serta pameran berasaskan pemodenan teknologi pertanian tempatan dan global.

MAHA 2024 mencatatkan 81 memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) dengan nilai pelaburan terkumpul berjumlah RM7.2 bilion.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.