Malaysia sedia kongsi kepakaran pengurusan haji dengan negara Islam lain

Jemaah haji dari seluruh dunia melakukan Tawaf Ifadhah di Masjidil Haram / foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Malaysia bersedia berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam pengurusan haji dengan negara-negara Islam yang berminat mencontohi sistem pengurusan jemaah haji yang dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (TH).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan Lembaga Tabung Haji mendapat pengiktirafan antarabangsa dan dijadikan penanda aras dalam pengurusan jemaah haji.
  • Pengiktirafan meliputi aspek kebersihan, keselamatan serta kelancaran operasi haji, khususnya di kawasan seperti Mina.
  • Lembaga Tabung Haji menerima permohonan beberapa negara untuk mempelajari sistem pengurusan jemaah dari tanah air hingga proses kepulangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kejayaan TH dalam menguruskan jemaah haji bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, malah turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sehingga dijadikan penanda aras oleh banyak negara.

Beliau berkata pengiktirafan itu termasuk aspek pengurusan kebersihan, keselamatan serta kelancaran operasi haji sepanjang jemaah Malaysia berada di Tanah Suci, khususnya di kawasan seperti Mina.

“Kita ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas haji, pengurusan dan juga jemaah haji Malaysia yang menunjukkan contoh dan teladan yang sangat baik.

“Pengurusan jemaah haji Malaysia mendapat perhatian di peringkat dunia dan antarabangsa, khususnya dari segi kebersihan, keselamatan serta pengurusan sepanjang operasi haji termasuk di Mina dan sebagainya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Baharuddin Ahmad pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Menurut beliau, TH turut menerima pelbagai permohonan daripada beberapa negara yang berminat mempelajari sistem pengurusan haji Malaysia secara menyeluruh.

Katanya, ia meliputi pengurusan jemaah bermula dari tanah air, sepanjang berada di Tanah Suci sehingga proses kepulangan mereka ke Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.