
KUALA LUMPUR, 22 Julai- Gegaran gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 yang berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada 12.18 tengah hari tadi dilapor turut dirasai di Malaysia melibatkan beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung.
- METMalaysia laporkan gempa pada koordinat 4.2 darjah Utara, 97.6 darjah Timur, kira-kira 55 km barat daya Langsa, kedalaman 10 km.
- Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan kejadian itu, menurut kenyataan METMalaysia.
- Orang ramai yang merasai gegaran diminta mengisi borang soal selidik METMalaysia melalui pautan https://forms.gle/3BiFefhGT4yysDiC9.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada koordinat 4.2 darjah Utara dan 97.6 darjah Timur, kira-kira 55 kilometer (km) barat daya dari Langsa, Indonesia dengan kedalaman 10 km.
“Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan kejadian itu,” menurut kenyataan METMalaysia sebentar tadi.
Orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi berkenaan diminta mengisi borang soal selidik METMalaysia melalui pautan https://forms.gle/3BiFefhGT4yysDiC9 bagi membantu pengumpulan maklumat berkaitan kesan gegaran.
Sementara itu, beberapa pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman merasai gegaran berkenaan menerusi platform Threads.
Antara kawasan yang didakwa menerima kesan gegaran termasuk sekitar Lembah Klang, Putrajaya, Kajang dan Manjung, Perak.
Seorang pengguna berkongsi bahawa beliau pada awalnya menyangka dirinya pening sebelum menyedari berlaku gegaran, manakala beberapa pengguna lain bertanyakan sama ada gegaran yang dirasai mereka berpunca daripada gempa bumi.