
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada waktu malam mencerminkan komitmen Polis Kuala Lumpur dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan tanpa mengira masa.
- Ketua Polis KL: operasi siang dan malam tanpa henti kerana kebanyakan jenayah berlaku pada waktu malam.
- Perhimpunan malam adalah penugasan rasmi yang tidak mengganggu operasi polis dan menyokong pelaksanaan operasi malam.
- Seramai 1,100 anggota termasuk pegawai kanan, pegawai rendah dan kakitangan awam menghadiri perhimpunan itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata penganjuran perhimpunan itu selari dengan peranan pasukan tersebut yang beroperasi tanpa henti dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman di ibu negara.
“Sebagai bandar metropolitan dengan kepadatan penduduk yang tinggi, majoriti kejadian jenayah berlaku pada waktu malam. Bagi kami, melakukan perhimpunan, tugas rasmi, risikan, operasi siang dan malam di Kuala Lumpur adalah tanpa henti, 24 jam.
“Perhimpunan ini tidak menganggu penugasan polis malah ia adalah penugasan rasmi dan banyak operasi kita lakukan pada waktu malam,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurut beliau, seramai 1,100 anggota yang terdiri daripada pegawai kanan, pegawai rendah polis dan kakitangan awam menghadiri perhimpunan itu.
Katanya, perhimpunan malam itu merupakan kali kedua dilaksanakan selepas menerima sokongan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.