Ebola: 2,423 kes disahkan di Congo

Foto REUTERS

GENEVA, 21 Julai Wabak Ebola yang berpunca daripada virus Bundibugyo di Republik Demokratik Congo terus merebak dengan 2,423 kes disahkan, termasuk 967 kematian dan 469 pesakit pulih.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wabak merebak ke lima wilayah; Ituri kekal pusat penularan, mencatat majoriti kes dan kematian.
  • WHO kenal pasti tiga corak penularan: intensiti tinggi di Bunia, penularan baru di beberapa bandar, dan penstabilan di Mongbwalu serta Goma.
  • Pasukan tindak balas pantas cegah penularan sekunder di Kisangani; skop diperluas, fokus pada pengebumian selamat, rujukan dan pengurusan klinikal.

Pengurus insiden Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi tindak balas penyakit virus Bundibugyo, Thierno Balde berkata wabak itu kini telah merebak ke lima wilayah, dengan Ituri kekal sebagai pusat penularan, merangkumi 89.1 peratus daripada keseluruhan kes dan 83.9 peratus daripada jumlah kematian.

Walaupun jumlah kes terus meningkat, Balde memaklumkan pihak berkuasa kesihatan kini mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai corak penularan wabak itu dan sedang menyesuaikan langkah tindak balas sewajarnya.

“Wabak ini masih mendahului usaha kami dan kami masih berada dalam fasa mengejar penularannya,” katanya.

Beliau berkata WHO telah mengenal pasti tiga corak penularan yang berbeza, iaitu penularan berintensiti tinggi yang masih berlaku di Bunia dan kawasan sekitarnya, penularan baharu di beberapa lokasi termasuk Kisangani, Haut-Uele, Katwa dan Butembo, serta tanda-tanda penstabilan di Mongbwalu, lokasi wabak itu mula dikesan selain di Goma.

Beliau berkata pasukan tindak balas pantas yang ditempatkan di Kisangani setakat ini berjaya menghalang penularan sekunder, dengan kesemua lima kes yang dilaporkan di bandar itu merupakan kes import dari Ituri.

Pelan serupa akan diperluas ke Haut-Uele, Katwa, Butembo dan kawasan lain yang menunjukkan penularan baharu.

“Kami memberi keutamaan kepada peluasan pengebumian yang selamat dan bermaruah, sistem rujukan serta keupayaan pengurusan klinikal di kawasan yang mencatat penularan paling aktif,” katanya. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.