Lebih 275,000 warga asing pulang menerusi Repatriasi Migran 2.0

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Imigresen 2026 di Cyberjaya, hari ini. – Foto RTM

CYBERJAYA, 21 Julai – Pelaksanaan Program Repatriasi Migran 2.0 merekodkan penyertaan 275,755 warga asing dari 114 negara hingga 15 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Repatriasi Migran 2.0 menawarkan warga asing yang langgar peraturan imigresen pulang ke negara asal secara sah.
  • Program menjana kutipan hasil RM137,763,980.
  • Ditawarkan kompaun lebih rendah untuk menggalakkan serah diri sukarela dan mengurangkan beban penguatkuasaan serta pusat tahanan.
  • 63,475 pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu dikeluarkan hingga 17 Julai; pelaksanaan bermula 1 Julai kini fasa ketiga.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, program yang memasuk fasa kedua tahun ini turut menjana kutipan hasil berjumlah RM137,763,980.

Menurut beliau, program berkenaan menawarkan warga asing yang melanggar peraturan imigresen untuk pulang ke negara asal secara sah.

“Ini sebahagian daripada program alternatif yang kita tawarkan. Kalau kata kita hendak bergantung kepada penguatkuasaan, kita menghadapi masalah dari segi kapasiti pusat-pusat tahanan kita.”

“Sebab itu kita masih memerlukan program-program seperti ini di mana mereka sendiri menyerah diri secara sukarela dan kita tawarkan mereka kompaun yang lebih rendah,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 63,475 Pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu telah dikeluarkan hingga 17 Julai lalu.

Datuk Zakaria berkata pelaksanaan pasport versi baharu itu yang bermula 1 Julai lepas kini berada pada fasa ketiga pelaksanaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Imigresen ke-104 bertemakan ‘Melakar Wajah Baharu Imigresen’ di sini, hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.