
KUALA LUMPUR, 21 Julai– Perlawanan Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos depan akan membuka tirai saingan Liga Malaysia musim 2026-2027.
- Saingan Liga Super berlangsung sehingga 23 Mei 2027, membabitkan 12 kelab.
- Piala FA bermula 1 hingga 2 September; akhir pada 16 Januari 2027. Piala Malaysia edisi ke-100 mula 22 hingga 24 Januari 2027.
- Jadual mungkin diselaraskan selepas undian ACL oleh AFC pada 18 Ogos 2026; kalendar ambil kira FIFA, AFC, logistik, VAR dan naiktaraf venue.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan, perlawanan bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah itu turut menjadi aksi pembukaan Liga Super yang menawarkan mata bagi kedudukan liga.
Saingan Liga Super musim baharu akan berlangsung sehingga 23 Mei 2027 dan membabitkan 12 kelab.
“Kelab yang bersaing ialah JDT, Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC, Melaka FC serta pendatang baharu dari Liga A1, Kelantan Red Warrior FC,” menurut kenyataan MFL.
Sementara itu, Piala FA dijadual bermula pada 1 hingga 2 September nanti, manakala perlawanan akhir akan berlangsung pada 16 Januari 2027.
Piala Malaysia yang memasuki edisi ke-100 pula akan membuka saingan pada 22 hingga 24 Januari 2027.
Majlis undian dijadual berlangsung pada 31 Disember ini, melibatkan 12 kelab Liga Super dan empat kelab Liga A1.
Perlawanan akhir Piala Malaysia dijadual berlangsung pada 30 Mei 2027.
Sementara itu, MFL Challenge Cup akan membuka saingan dengan peringkat suku akhir pada 10 hingga 11 Februari 2027.
Perlawanan akhir secara timbal balik dijadual berlangsung pada 11 April dan 18 April 2027, membabitkan lapan kelab yang tidak layak ke suku akhir Piala Malaysia.
“Kemungkinan pindaan jadual akan berlaku memandangkan sesi undian Kejohanan AFC Champions League Elite (ACLE) dan AFC Champions League Two (ACL2) oleh AFC bakal diadakan pada 18 Ogos 2026 dengan melibatkan penyertaan JDT dan Kuching City FC,” menurut MFL lagi.
MFL memaklumkan, kalendar musim 2026-2027 disusun dengan mengambil kira kalendar FIFA, kejohanan AFC dan ASEAN, selain faktor logistik, operasi Video Bantuan Pengadil (VAR), kerja naik taraf venue, tempoh rehat serta perjalanan kelab.
Bagi jadual melibatkan Kelantan Red Warrior FC pula, kelab itu tidak dapat beraksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu sepanjang Ramadan susulan ketetapan Kerajaan Negeri.