
NEW JERSEY, 21 Julai – FIFA akan menyiasat insiden pergaduhan yang tercetus selepas perlawanan akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina.
- FIFA akan menyiasat insiden pergaduhan yang berlaku selepas perlawanan akhir Piala Dunia 2026.
- FIFA melantik seorang pendakwa disiplin dan etika untuk menyiasat kejadian tersebut.
- Pergaduhan tercetus sejurus wisel penamat selepas Sepanyol menang 1-0 menerusi jaringan Ferran Torres pada masa tambahan.
- Argentina beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-93 selepas Enzo Fernandez menerima kad kuning kedua.
Badan induk bola sepak dunia itu melantik seorang pendakwa disiplin dan etika bagi menyiasat insiden yang berlaku selepas kemenangan 1-0 Sepanyol ke atas Argentina menerusi masa tambahan dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh tegang.
Ketegangan memuncak selepas Sepanyol menjulang gelaran Piala Dunia kedua hasil jaringan kemenangan pemain sayap, Ferran Torres, pada masa tambahan.
Argentina pula terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-93 masa sebenar selepas Enzo Fernandez dilayangkan kad kuning kedua.
Sejurus wisel penamat ditiup, pemain tengah Argentina, Leandro Paredes, bertelagah dengan beberapa pemain Sepanyol termasuk Eric Garcia dan Gavi, sekali gus mencetuskan pergaduhan membabitkan kedua-dua pasukan.
Para pemain saling tolak-menolak sebelum dipisahkan oleh pegawai, manakala jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, dilihat cuba menenangkan keadaan.
FIFA bagaimanapun tidak menetapkan tempoh masa bagi menyelesaikan siasatan tersebut.-Reuters