
PUTRAJAYA, 20 Julai – Bersempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026, agensi dan jabatan di bawah Kementerian Komunikasi diseru memperbanyakkan penerbitan kandungan memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan patriotisme.
- Manfaatkan tempoh sambutan untuk menghasilkan kandungan yang mengingatkan kepentingan hidup dalam suasana rukun, aman dan bersatu padu.
- Tonjolkan kejayaan Malaysia di peringkat dunia serta kestabilan politik sebagai bahan kandungan yang membina kebanggaan dan keharmonian.
- Berhati-hati menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi kandungan Jalur Gemilang untuk elak kesilapan seperti jumlah jalur tidak tepat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata tempoh sambutan itu merupakan peluang terbaik untuk menghasilkan kandungan yang mengingatkan tentang kepentingan hidup dalam suasana rukun, aman damai dan bersatu padu dalam sebuah negara.
”Seperti Malaysia. Kita telah lihat mutakhir ini Malaysia telah mencatat banyak kejayaan di peringkat dunia. Pada masa yang sama, kestabilan politik dan keharmonian dapat dinikmati oleh rakyat.
“Maka, saya pohon dan saya telah minta supaya jabatan dan agensi bawah Kementerian Komunikasi sebagai permulaan, memperbanyakkan kandungan yang menceritakan tentang kejayaan-kejayaan ini,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya.
Terdahulu, Datuk Seri Fahmi mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan sebarang kandungan berkaitan Jalur Gemilang.
Ini bagi memastikan supaya tidak berlaku kesilapan termasuk jumlah jalur yang tidak tepat pada Jalur Gemilang.