
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Pembiayaan berjumlah RM36 juta telah disalurkan TEKUN Nasional kepada kira-kira 1,500 usahawan di Negeri Sembilan sehingga Jun lepas.
- TEKUN menyalurkan RM540 juta kepada 25,600 usahawan di seluruh negara setakat Jun.
- Sasaran keputusan pembiayaan TEKUN: tujuh hari untuk RM100,000 ke bawah; 24 jam untuk pembiayaan mikro RM20,000 ke bawah.
- Permohonan dinilai secara profesional tanpa memerlukan surat sokongan pemimpin politik, tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.
- Kerajaan memperluas akses pembiayaan, meningkatkan peruntukan SPUMI daripada RM30 juta kepada RM50 juta; MUDRA menyediakan RM220 juta tahun ini.
Kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim menyebut dalam tempoh sama, sebanyak RM540 juta telah disalur kepada 25,600 usahawan di seluruh negara.
“Sumbangan besar telah diberikan TEKUN sejak penubuhan 30 tahun lepas dan sedia memainkan peranan penting dalam memperkasa usahawan tempatan menerusi sistem penyampaian yang sentiasa ditambah baik bertujuan memenuhi keperluan semasa.
“Saya menyasarkan permohonan pembiayaan TEKUN bernilai RM100,000 dan ke bawah diputuskan dalam tempoh tujuh hari, sama ada diluluskan atau sebaliknya.
“Bagi pembiayaan mikro berjumlah RM20,000 dan ke bawah, KUSKOP sedang mengusahakan sasaran supaya keputusan permohonan dapat diberikan dalam tempoh 24 jam,”kata kenyataan itu lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan permohonan pembiayaan TEKUN tidak memerlukan sebarang surat sokongan atau pengesahan daripada mana-mana pemimpin politik.
“Setiap permohonan dinilai secara profesional dan telus berdasarkan kelayakan pemohon tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.
“Kerajaan terus memperluas akses pembiayaan kepada usahawan pelbagai komuniti termasuk meningkatkan peruntukan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN daripada RM30 juta kepada RM50 juta.
“Selain itu, Pakej Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (MUDRA) menyediakan pembiayaan keseluruhan sebanyak RM220 juta pada tahun ini,”jelasnya.