Penduduk gempar dua gajah liar berkeliaran di kawasan perumahan

Kesan gajah liar merosakkan tanaman / Foto RTM

GUA MUSANG, 19 Julai – Kira-kira 600 penduduk Taman Wangsa Mewangi di sini gempar selepas dua ekor gajah liar dikesan berkeliaran berhampiran kawasan perumahan sebelum merosakkan tanaman penduduk serta kebun Projek Sejati Madani, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gajah liar dirakam kira-kira pukul 2 pagi dan video dikongsi dalam kumpulan WhatsApp penduduk.
  • Gajah berada sekitar 30 meter dari rumah, dekat landasan kereta api dan jalan utama; penduduk risau keselamatan.
  • Lebih 20 pokok pisang serta pokok kelapa rosak; ternakan rusa dan madu kelulut terjejas; Perhilitan memantau dan siasat.

Kemunculan gajah liar berkenaan sempat dirakam kira-kira pukul 2 pagi sebelum individu itu berkongsi video rakaman tersebut menerusi kumpulan WhatsApp penduduk.

Gajah berkenaan berada kira-kira 30 meter dari rumah penduduk dan hanya sekitar 500 meter dari Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Azizul Rahman Hamzah, 50 tahun, berkata, kehadiran haiwan liar itu membimbangkan kerana kawasan berkenaan berhampiran laluan penduduk termasuk landasan kereta api.

“Dia nak pusing kereta di sini, kemudian terkejut dan panggil semula. Beberapa orang datang tengok, selepas itu saya rakam video dan muat naik di Facebook kerana bimbang keselamatan penduduk.

“Saya juga bimbang kerana kawasan landasan kereta api berhampiran dan tiada tanda amaran. Biasanya gajah akan datang lagi kerana kawasan ini mempunyai sumber makanan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mah Swee Ha, 65 tahun berkata, dia terkejut selepas melihat beberapa tanaman rosak akibat kehadiran gajah berkenaan.

“Saya terkejut apabila lihat pokok kelapa rosak. Jiran beritahu sebelum ini ada dua ekor gajah dan memaklumkannya di Facebook,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Wangsa Mewangi, Abdullah Hussein berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera berikutan kejadian itu berlaku di kawasan bandar Gua Musang.

“Kita bimbang kerana kawasan bandar pun boleh dimasuki gajah. Di Projek Sejati Madani, lebih 20 pokok pisang rosak selain beberapa pokok kelapa turut diusik.

“Di kawasan ini juga terdapat ternakan rusa dan madu kelulut yang dikhuatiri terjejas,” katanya.

Katanya, laporan juga telah diajukan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan anggota telah hadir untuk menjalankan pemantauan dan siasatan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.