
KENINGAU, 18 Julai – Perkhidmatan Pusat Autisme Sabah (PAUS) bakal diperluas ke daerah Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort secara berfasa bermula tahun ini bagi menyediakan pendidikan awal berkualiti serta mampu milik.
- Kerajaan negeri memperuntukkan RM173.56 juta dalam belanjawan tahun ini untuk agenda kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
- PAUS Kota Kinabalu beroperasi lancar, menempatkan kanak-kanak autistik umur tiga hingga tujuh serta melaksanakan program kebajikan lain.
- The Neurohope Programme 2026 gabungkan pendidikan, kesihatan, kerajaan dan NGO untuk bina ekosistem sokongan; seruan kerjasama ibu bapa, guru dan pemimpin.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri yang memperuntukkan RM173.56 juta pada tahun ini menerusi belanjawan negeri bagi melaksanakan agenda kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“PAUS Kota Kinabalu di Sembulan beroperasi dengan lancar yang menempatkan kanak-kanak autistik berusia tiga hingga tujuh tahun, selain pelbagai program bantuan kebajikan lain turut dilaksanakan bagi membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, anak yatim dan ibu tunggal,” katanya pada majlis perasmian The Neurohope Programme 2026 di Dewan Sekolah Kebangsaan Bingkor di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Sementara itu, beliau berkata The Neurohope Programme 2026 merupakan gerakan komuniti yang menghimpunkan pelbagai bidang termasuk pendidikan, kesihatan, kerajaan dan pertubuhan masyarakat demi membina ekosistem yang menyokong perkembangan setiap anak.
Datuk Seri Hajiji berkata ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat diseru berganding bahu memanfaatkan peluang tersebut bagi mendalami ilmu serta berkongsi pengalaman memandangkan sokongan padu daripada komuniti serta pakar amat diperlukan.
Beliau berkata program kesedaran seumpama itu diharap dapat diperluas ke lebih banyak sekolah dan daerah di seluruh Sabah bagi memperkukuh pendidikan inklusif, memperkasakan keluarga serta membina masyarakat yang lebih prihatin.- BERNAMA