AS serang Iran tujuh hari berturut-turut, sasar infrastruktur utama

Foto AFP

TEHRAN, 17 Julai – Amerika Syarikat (AS) meneruskan serangan ke atas Iran untuk hari ketujuh berturut-turut pada Jumaat dengan menyasarkan beberapa lokasi di negara Teluk itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • CENTCOM berkata serangan bertujuan terus melemahkan keupayaan ketenteraan Iran atas arahan Panglima Tertinggi.
  • Serangan menyasarkan infrastruktur logistik ketenteraan, jambatan, stesen kereta api dan lapangan terbang termasuk Iranshahr.
  • Letupan dilaporkan di Sirik, Ahvaz, Yazd dan Hormozgan; tujuh orang dilaporkan terbunuh.
  • Presiden AS Donald Trump mengancam serangan udara besar-besaran terhadap infrastruktur Iran dan tidak menolak kemungkinan serangan darat.

Pemerintah Pusat Tentera AS (CENTCOM) berkata serangan terbaharu dilancarkan pada pukul 10.30 malam waktu Tehran bagi melemahkan keupayaan ketenteraan Iran, termasuk infrastruktur logistiknya.

Media Iran melaporkan serangan berlaku di Bandar Abbas, Pelabuhan Sirik, Pulau Qeshm, Ahvaz dan Yazd.

Kawasan kediaman, menara komunikasi, jambatan serta sebuah lapangan terbang antara yang terjejas.

Dalam serangan pada lewat Khamis hingga awal Jumaat di Wilayah Hormozgan, lapan orang terbunuh manakala 19 lagi cedera.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh dan lebih 400 cedera di seluruh Iran sejak pertempuran dengan AS kembali tercetus pada 22 Jun, menurut Kementerian Kesihatan Iran.

Wakil Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani mengecam serangan terhadap infrastruktur bukan ketenteraan dan menyifatkannya sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Presiden AS Donald Trump sebelum ini mengancam untuk melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap infrastruktur Iran dan tidak menolak kemungkinan serangan darat di kawasan pantai atau pulau milik negara itu. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.