Lapan maut, 34 masih hilang dalam tanah runtuh di Chongqing

Foto AFP

CHONGQING, 18 Julai – Sekurang-kurangnya lapan orang maut manakala 34 lagi masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di Daerah Pengshui, Chongqing, barat daya China pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Xi Jinping mengarahkan operasi mencari dan menyelamat diteruskan melibatkan lebih 800 anggota.
  • Pemeriksaan menyeluruh giat dilaksanakan untuk mengenal pasti risiko bencana geologi dan ancaman berkaitan.
  • Tanah dan batu menimbus jalan, kawasan kediaman serta premis perniagaan di kaki gunung sekitar waktu pagi.
  • Kerajaan memperuntukkan 50 juta yuan untuk menyokong operasi mencari dan menyelamat serta bantuan kepada penduduk terjejas.

Presiden China Xi Jinping mengarahkan operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan lebih 800 anggota diteruskan.

Pemeriksaan menyeluruh sedang giat dilaksanakan bagi mengenal pasti risiko bencana geologi serta ancaman lain yang berpotensi.

Penyiar awam China, CCTV, melaporkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.10 pagi waktu tempatan, menyaksikan batu dan tanah menimbus sebahagian jalan yang menempatkan kawasan kediaman serta premis perniagaan di kaki gunung.

Ketua Daerah Pengshui, Ren Xujiang mengesahkan, 18 mangsa yang terperangkap dibawah runtuhan berjaya dikeluarkan, namun lapan daripada mereka meninggal dunia.

Kawasan berkenaan mempunyai bentuk muka bumi curam dan terdapat batuan berbahaya di sepanjang lereng tebing.

Kerajaan China memperuntukkan 50 juta yuan atau AS$7.36 juta daripada dana bantuan bencana alam bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat serta membantu penduduk terjejas.

Kejadian itu berlaku kurang dua minggu selepas tanah runtuh di wilayah Gansu, barat laut China, menimbus 33 orang dan mengorbankan 21 daripada mereka. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.