China gesa kerjasama global bangunkan AI sumber terbuka

Xi Jinping/ REUTERS

SHANGHAI, 17 Julai – Presiden China, Xi Jinping menyeru negara-negara di seluruh dunia memanfaatkan peluang bersejarah dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) sumber terbuka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wujudkan undang-undang, pemantauan, sistem amaran awal dan mekanisme tindak balas kecemasan serta pastikan AI sentiasa dikawal manusia untuk cegah penyalahgunaan.
  • Perluas kerjasama antarabangsa dan bantu negara-negara Selatan Global membangunkan keupayaan supaya jurang kecerdasan digital dapat dirapatkan.
  • China akan sediakan 5,000 peluang latihan AI dan tubuhkan pusat kerjasama antarabangsa bersama ASEAN, Liga Arab, Kesatuan Afrika, CELAC, SCO dan BRICS.

Pembangunan AI perlu didorong menerusi amalan perkongsian teknologi dan inovasi secara terbuka di samping memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memastikan teknologi itu berkembang secara inklusif, selamat dan memberi manfaat kepada semua.

“Kita perlu merebut peluang bersejarah yang jarang berlaku ini dengan menggalakkan sumber terbuka, kerjasama dan perkongsian. Kita juga perlu memperkasa pembangunan teknologi AI serta industri inovasi secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (WAIC) di sini, hari ini.

XI turut menekankan kepentingan mewujudkan rangka kerja perundangan, sistem pemantauan teknologi, amaran awal dan mekanisme tindak balas kecemasan bagi mengelakkan penyalahgunaan AI.

“Kita perlu mewujudkan undang-undang dan peraturan, pemantauan teknologi, sistem amaran awal serta tindak balas kecemasan bagi memperkukuh aspek keselamatan dan mencegah penyalahgunaan atau penggunaan berniat jahat. AI juga mesti sentiasa berada di bawah kawalan manusia,” katanya lagi.

Jurang pembangunan AI antara negara maju dan negara membangun perlu dirapatkan menerusi kerjasama antarabangsa yang lebih meluas.

“Kita perlu memperluas kerjasama antarabangsa dan membantu negara-negara Selatan Global membangunkan keupayaan mereka bagi merapatkan jurang kecerdasan digital. Pada masa sama, kita perlu menggalakkan pembangunan mampan serta mengelakkan berlakunya ketidakadilan baharu dalam era AI,” katanya.

Dalam pada itu, Xi mengumumkan China akan menyediakan 5,000 peluang latihan dan seminar berkaitan AI kepada negara-negara membangun dalam tempoh lima tahun akan datang.

China juga akan menubuhkan pusat kerjasama antarabangsa bagi aplikasi AI bersama ASEAN, Liga Arab, Kesatuan Afrika, Komuniti Negara Amerika Latin dan Caribbean (CELAC), Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) serta BRICS.

Menurut Xi, AI merupakan teknologi yang mampu mengubah dunia setanding dengan penciptaan enjin wap dan tenaga elektrik, justeru tadbir urus global yang adil dan inklusif amat penting bagi memastikan manfaatnya dapat dikongsi bersama.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.