PGA rampas beras disyaki diseludup dari Thailand

Op Taring Wawasan Kelantan menemukan 750 kilogram beras dipercayai dari Thailand diseludup masuk ke negara ini

TUMPAT, 17 Julai- Cubaan menyeludup 750 kilogram beras dipercayai dari Thailand terbongkar selepas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menemui longgokan guni berisi beras yang ditinggalkan di sebuah pangkalan haram di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan PGA menemui longgokan guni berisi beras semasa rondaan Op Taring Wawasan Kelantan di Pengkalan Haram Yahya kira-kira pukul 6.30 petang.
  • Guni ditinggalkan, anggota menunggu kira-kira 15 minit tanpa tuntutan, kemudian menyerahkan barangan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan.
  • Pemeriksaan awal mendapati beras disyaki dibawa masuk dari Thailand, rampasan dianggarkan RM3,000 dan disiasat di bawah Seksyen 20 Akta 1994; tiada tangkapan.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata pasukan berkenaan menemukan beras terbabit ketika menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di sekitar Pengkalan Haram Yahya, Kampung Simpangan, Pengkalan Kubor pada kira-kira pukul 6.30 petang.

“Anggota bertugas menemukan beberapa longgokan guni putih yang disyaki mengandungi beras. Pasukan kemudian menunggu kira-kira 15 minit di lokasi berkenaan. Namun tiada individu datang menuntut barangan tersebut.

“Kesemua guni berisi beras itu kemudian diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu hari ini.

Pemeriksaan awal mendapati beras terbabit disyaki dibawa masuk dari Thailand melalui laluan tidak sah.

Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM3,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

SAC Ahmad berkata pemeriksaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan beras, penyalahgunaan dadah serta kegiatan jenayah lain di kawasan tanggungjawab.

Tiada tangkapan dilakukan dalam operasi berkenaan, menurut beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.