
TEXAS, 17 Julai – Ujian penerbangan ke-13 roket Starship milik SpaceX ditangguhkan selepas sistem keselamatan mengaktifkan pembatalan automatik pada saat-saat akhir sebelum pelancaran di Starbase, di sini, pada Khamis.
- Enjin dihidupkan kemudian dimatikan selepas sistem mengesan masalah, menyebabkan pembatalan pelancaran kurang satu saat sebelum berlepas.
- Pasukan teknikal menyiasat punca kejadian sebelum menentukan tarikh percubaan seterusnya, dijangkakan dalam beberapa hari.
- Bahan api sedang dikeluarkan dan kedua-dua kenderaan angkasa berada dalam keadaan selamat di tapak pelancaran.
Pelancaran yang dijadualkan pada pukul 6.45 petang waktu tempatan itu dibatalkan kurang satu saat sebelum berlepas.
Walaupun enjin roket sempat dihidupkan, ia dimatikan sejurus kemudian selepas sistem mengesan keadaan yang memerlukan pelancaran dihentikan.
Jurucakap SpaceX, Dan Huot berkata, pelancaran tidak dapat diteruskan dan pasukan teknikal kini sedang meneliti punca kejadian sebelum menentukan tarikh baharu bagi percubaan seterusnya.
“Tiada pelancaran Starship hari ini. Kami akan bekerjasama dengan pasukan teknikal untuk mengenal pasti apa yang berlaku dan menentukan bila percubaan seterusnya boleh dilakukan,” katanya menerusi siaran langsung SpaceX.
Sebaik sahaja pelancaran dibatalkan, proses mengeluarkan bahan api daripada roket penggalak dan kapal angkasa segera dimulakan.
Walaupun keputusan berkenaan bukan seperti yang diharapkan, kedua-dua kenderaan angkasa itu masih berada dalam keadaan selamat di tapak pelancaran.
“Pasukan kini sedang mengeluarkan bahan api daripada kedua-dua kenderaan angkasa. Kami akan mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti punca pembatalan yang berlaku ketika enjin penggalak mula dihidupkan sebelum menentukan langkah seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk menerusi hantaran di platform X memaklumkan beberapa enjin gagal dihidupkan, sekali gus menyebabkan sistem pembatalan pelancaran diaktifkan secara automatik.
Percubaan pelancaran seterusnya dijangka dapat dilakukan dalam tempoh beberapa hari lagi.- REUTERS