
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kerjasama kukuh antara syarikat korporat dengan kerajaan dan organisasi komuniti tempatan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mampu memberi manfaat terus kepada masyarakat.
- CSR perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang memberi nilai tambah kepada rakyat dan pembangunan negara.
- Program CSR harus melepasi tanggungjawab semata dan difokuskan pada manfaat komuniti serta masa depan negara.
- Penglibatan berterusan syarikat melalui CSR melengkapkan usaha kerajaan bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
- Peralihan daripada CSR kepada amalan ESG menandakan organisasi mengintegrasikan tanggungjawab sosial dalam operasi jangka panjang.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying menegaskan, program berkenaan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang memberi nilai tambah bukan hanya kepada rakyat tetapi juga pembangunan negara.
“Program ini tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai tanggungjawab korporat, sebaliknya perlu menjadi pelaburan jangka panjang kepada rakyat, komuniti dan masa depan negara,” katanya ketika berucap pada Sustainability & CSR Malaysia Awards 2026 di sini hari ini.
Katanya, penglibatan berterusan syarikat korporat menerusi inisiatif CSR penting bagi melengkapi usaha kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemampanan, ihsan, keterangkuman dan kemakmuran bersama.
Selain itu, perubahan daripada pendekatan CSR kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menunjukkan semakin banyak organisasi mula mengintegrasikan elemen tanggungjawab sosial dalam operasi serta perancangan jangka panjang mereka.
“Kejayaan sesebuah perniagaan bukan sahaja boleh dicapai, malah perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab sosial serta pemeliharaan alam sekitar,” katanya.