
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Penggunaan skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) terus menunjukkan pertumbuhan ketara dengan bilangan pemegang akaun aktif meningkat kepada lapan juta pada suku pertama 2026, dengan jumlah baki terkumpul mencecah RM5.3 bilion.
- Semua penyedia BNPL diwajibkan mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Kredit Pengguna supaya hanya penyedia yang memenuhi standard kawal selia, tadbir urus dan perlindungan pengguna dibenarkan.
- SKP menetapkan Standard Pelakuan yang mewajibkan penilaian kelayakan kredit dan kemampuan berhutang sebelum kelulusan pembiayaan untuk mengelak masalah keberhutangan.
- SKP meneliti had kadar faedah berdasarkan data dan bukti empirikal bagi memastikan keseimbangan perlindungan pengguna, akses kredit dan pembangunan industri.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan memaklumkan, dalam tempoh sama, jumlah tidak berbayar adalah sebanyak RM181.0 juta atau 3.4 peratus daripada jumlah baki terkumpul BNPL.
”Berdasarkan penggunaan semasa, kira-kira 40 peratus pengguna BNPL terdiri daripada golongan berusia 30 tahun dan ke bawah, dengan kemudahan itu lazimnya digunakan untuk pembelian harian bernilai kecil seperti makanan, barangan runcit, pengangkutan dan perkhidmatan.
”Nilai purata transaksi BNPL pula adalah kurang daripada RM100, manakala secara keseluruhannya hutang BNPL kekal rendah iaitu sekitar 0.3 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah dalam negara setakat akhir 2025,” menurut MOF dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat di laman sesawang Parlimen.
Perkembangan pesat sektor itu mendorong langkah kawal selia lebih ketat apabila semua penyedia BNPL kini diwajibkan mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).
Keperluan pelesenan itu membolehkan SKP memastikan hanya penyedia yang memenuhi standard kawal selia, tadbir urus serta perlindungan pengguna dibenarkan beroperasi.
”Tempoh permohonan lesen telah dibuka mulai 1 Jun 2026, manakala penyedia BNPL sedia ada diberikan tempoh sehingga 30 November 2026 untuk mengemukakan permohonan masing-masing.
”Bagi memastikan penggunaan BNPL tidak membawa kepada masalah keberhutangan, SKP turut menetapkan Standard Pelakuan yang mewajibkan penyedia BNPL menjalankan penilaian kelayakan kredit dan kemampuan berhutang sebelum sesuatu pembiayaan diluluskan,” menurut jawapan bertulis itu.
Sementara itu, SKP turut meneliti keperluan menetapkan had kadar faedah yang dikenakan oleh penyedia BNPL dengan mengambil kira faktor seperti corak penggunaan, kadar pembayaran balik, risiko keberhutangan serta kesannya terhadap akses kepada kredit.
Sebarang keputusan berkaitan had kadar faedah akan dibuat berdasarkan data dan bukti empirikal bagi memastikan keseimbangan antara perlindungan pengguna, akses kepada pembiayaan bertanggungjawab serta pembangunan industri kredit pengguna yang cekap dan telus.