Harga runcit RON97 kekal RM4.00 seliter, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 5 sen dan 10 sen

Rakyat disaran mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Harga runcit bagi petrol RON97 kekal RM4.00 seliter, manakala harga petrol RON95 tanpa subsidi meningkat 5 sen seliter kepada RM3.42 dan harga diesel tanpa subsidi meningkat 10 sen kepada RM4.07 seliter bagi tempoh 16 hingga 22 Julai 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • MOF memaklumkan harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi pergerakan dan ketidaktentuan pasaran minyak dunia.
  • Serangan AS ke atas Iran dan kebimbangan laluan Selat Hormuz meningkatkan premium risiko, kos penghantaran dan harga minyak global.
  • Rakyat disaran berjimat penggunaan bahan api; subsidi BUDI MADANI tersedia untuk yang layak melalui MyKad, tertakluk pada baki bulanan.

Kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu.

“Serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran serta kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan di Selat Hormuz telah meningkatkan semula premium risiko minyak mentah serta kos penghantaran.

“Harga minyak mentah Brent telah mencecah USD85 setong, meningkat sekitar 20 peratus dalam tempoh dua minggu dan harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu ketidaktentuan pasaran global, selagi konflik belum mencapai penyelesaian muktamad,”kata kenyataan.

Rakyat Malaysia terus disaran mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat, walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini.

Melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan Mykad, tertakluk kepada kelayakan dan baki bulanan masing-masing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.