
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) menjadi antara faktor utama yang membantu kerajaan menstabilkan harga serta bekalan makanan meskipun konflik di Asia Barat terus memuncak.
- Bantuan tunai dan subsidi pukal untuk sektor logistik menyerap lonjakan kos logistik global akibat krisis geopolitik.
- Pengeluaran tempatan ayam dan telur yang mampan menyokong bekalan, ditambah import daging dari Australia dan India yang konsisten.
- Orang ramai diingatkan agar tidak terlalu selesa, tingkatkan kemahiran hidup, rancang keperluan dan kongsi tanggungjawab bersama.
Pensyarah Fakulti Industri Agro Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Dr. Seri Intan Mokhtar berkata, bantuan tunai BUDI MADANI dan pengekalan subsidi pukal kepada sektor logistik utama merupakan strategi serampang dua mata kerajaan bagi menyerap lonjakan kos logistik global akibat krisis geopolitik.
Menurut beliau, mekanisme itu turut membantu menstabilkan harga produk petroleum dan bekalan makanan di pasaran tempatan.
“Kebergantungan masyarakat terhadap bekalan makanan seperti ayam dan telur turut disokong oleh pengeluaran tempatan yang sangat baik dan mampan.
“Kita juga mengimport seperti daging daripada Australia dan India di mana laluan ini tidak terjejas jadi bekalannya agak konsisten,” katanya kepada RTM.
Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu selesa dengan keadaan semasa sebaliknya meningkatkan kemahiran hidup serta merancang keperluan dengan lebih baik bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.
Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan bagi memastikan cabaran yang dihadapi dapat ditangani bersama, sebagaimana ketika pandemik COVID-19.