Super El Niño dijangka bermula November, MET Malaysia gesa semua sektor buat persediaan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Malaysia dijangka mula mengalami fenomena Super El Niño bermula November ini, sekali gus menuntut persediaan rapi daripada pelbagai sektor bagi mengurangkan kesannya terhadap kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fenomena dijangka memuncak awal tahun depan, membawa suhu melampau, kurang hujan, risiko jerebu dan kesan kepada kesihatan awam.
  • Sektor pertanian dan penternakan terjejas; stres haba mengurangkan pengeluaran susu dan telur, menjejaskan rantaian bekalan makanan.
  • Fenomena boleh berlarutan antara 18 bulan hingga dua tahun, memerlukan persediaan jangka panjang.
  • MET Malaysia gesa orang ramai dapatkan maklumat cuaca; pakai pakaian sesuai, kurangkan pendedahan panas dan guna pelitup muka semasa jerebu.

Pengarah Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Ahmad Fairudz Jamaluddin berkata, fenomena itu dijangka memuncak pada awal tahun depan dengan kesan termasuk peningkatan suhu melampau, pengurangan taburan hujan, risiko jerebu serta implikasi terhadap kesihatan awam.

Menurut beliau, kesan Super El Niño bukan sahaja dirasai sektor pertanian, malah turut menjejaskan industri penternakan akibat tekanan haba terhadap haiwan.

Katanya, keadaan itu boleh mengurangkan produktiviti ternakan seperti pengeluaran susu dan telur, sekali gus memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan.

“Selain daripada pertanian, ia juga memberi kesan kepada haiwan ternakan. Haiwan ternakan akan mengalami stres haba. Apabila berlaku stres haba, pengeluaran susu contohnya, atau mungkin pengeluaran telur ayam juga akan berkurangan. Ia akhirnya memberi kesan kepada sektor pertanian,” katanya kepada pemberita RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media, hari ini.

Dr Ahmad Fairudz berkata, fenomena Super El Niño berpotensi berlarutan antara 18 bulan hingga dua tahun, sebagaimana yang pernah dialami negara ketika episod El Niño kuat pada 1997 hingga 1998.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat cuaca yang dikeluarkan MET Malaysia serta mengambil langkah perlindungan sewajarnya ketika cuaca panas.

Antara langkah yang disarankan termasuk memakai pakaian yang bersesuaian, mengurangkan pendedahan kepada cuaca panas dan menggunakan pelitup muka sekiranya berlaku jerebu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.