21 maut dalam serangan bersenjata, bom di Kohat

Keadaan di sebuah masjid Kohat, barat laut Pakistan selepas insiden letopan bom berlaku/ VIORY

KOHAT, 19 September – Sekurang-kurangnya 21 orang masing-masing 15 anggota polis dan enam orang awam terbunuh, manakala lebih 80 yang lain cedera dalam serangan bom bunuh diri dan bersenjata di kompleks Police Lines di Kohat, barat laut Pakistan, pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan bermula dengan kenderaan sarat letupan merempuh ketika solat Jumaat, diikuti penyerang bersenjata memasuki kompleks Police Lines Kohat.
  • Kemusnahan teruk dilaporkan di masjid dan kawasan sekeliling; motosikal dan sebuah stesen minyak turut rosak; pasukan keselamatan dikerah memberi sokongan kecemasan.
  • Sekurang-kurangnya tujuh penyerang terlibat; enam terbunuh, seorang melakukan serangan bunuh diri terhadap bangunan Cawangan Khas; Perdana Menteri mengutuk, arahkan operasi dipercepat.

Kemusnahan teruk di sekitar sebuah masjid dalam kompleks berkenaan, dengan dinding runtuh dan serpihan bertaburan di lokasi kejadian.

Sebuah stesen minyak berhampiran serta beberapa motosikal turut mengalami kerosakan, manakala anggota tentera, polis dan ambulans dikerahkan ke kawasan berkenaan.

Polis memaklumkan sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan merempuh kompleks itu ketika solat Jumaat, sebelum beberapa anggota kumpulan bersenjata memasuki kawasan berkenaan dan menyerang kemudahan polis.

Seorang anggota polis, Muhammad Yousaf, berkata kejadian berlaku ketika jemaah sedang menunaikan solat.

“Kami sedang menunaikan solat. Ketika rakaat pertama dan kami mula rukuk, berlaku letupan. Keadaan menjadi gelap dan dipenuhi debu. Kami terkena serpihan batu-bata.

“Kami tidak dapat bergerak, tetapi kemudian keluar dari masjid melalui tingkap. Dua orang memasuki masjid melalui dinding itu dan mereka melepaskan tembakan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Penerangan Khyber Pakhtunkhwa, Shafi Jan, berkata serangan dipercayai bermula dengan letupan kenderaan sebelum beberapa anggota kumpulan bersenjata memasuki kompleks berkenaan.

“Beberapa saksi memberitahu bahawa ia merupakan serangan bunuh diri menggunakan kenderaan, sebelum beberapa pengganas memasuki kompleks.

“Anda boleh mendengar bunyi tembakan. Ketua Polis Khyber Pakhtunkhwa mengetuai operasi di dalam kawasan berkenaan. Semua petugas perubatan dan doktor muda kami sedang bertungkus-lumus memberikan rawatan,” katanya.

Polis berkata sekurang-kurangnya tujuh anggota kumpulan bersenjata terlibat dalam serangan itu.

Enam penyerang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan polis dan Jabatan Antikeganasan, manakala seorang lagi penyerang bunuh diri menyasarkan bangunan Cawangan Khas yang terletak berhampiran.

Pegawai kesihatan daerah kemudian mengesahkan angka korban seramai 21 orang, termasuk 15 anggota polis dan enam orang awam, manakala lebih 80 lagi cedera.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengutuk serangan itu dan mengarahkan pihak berkuasa mempercepatkan operasi menyelamat.- VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.