ADUN lantikan perkukuh pentadbiran Kerajaan Melaka – Ab Rauf

Facebook Ab Rauf Yusoh

AYER KEROH, 14 Julai- Pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Melaka bertujuan memperkukuh pentadbiran kerajaan negeri menerusi penglibatan individu berkelayakan dan mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 diluluskan, membolehkan pelantikan sehingga tujuh ADUN lantikan.
  • Bilangan maksimum ditetapkan tujuh; pelantikan tidak wajib; negeri boleh mencadangkan satu, dua atau tiada pelantikan.
  • ADUN lantikan tidak boleh dilantik sebagai Ketua Menteri atau menjadi anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri EXCO.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pelantikan itu akan dibuat berdasarkan keperluan pembangunan negeri serta kepakaran yang boleh menyumbang kepada kemajuan Melaka.

“Bilangan mereka dihadkan tidak melebihi tujuh orang. Jumlah itu merupakan had maksimum dan bukannya kewajipan untuk melantik kesemua tujuh ADUN berkenaan.

“Kerajaan negeri boleh mencadangkan seorang atau dua orang, atau tidak melantik langsung. Sekiranya berlaku pelantikan, ia perlu dibawa melalui usul yang diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Seri Negeri, di sini hari ini.

Terdahulu, DUN Melaka meluluskan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 bagi membolehkan pelantikan tidak melebihi tujuh ADUN secara lantikan.

Datuk Seri Ab Rauf berkata ADUN lantikan berkenaan bagaimanapun tidak boleh dilantik sebagai Ketua Menteri atau anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Cadangan pelantikan ADUN lantikan merupakan antara kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) menerusi Teras 1: Kestabilan Politik (Membudayakan Politik Matang) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.